• Apartment di Cyberjaya untuk disewa

    Untuk mereka yang bekerja di Cyberjaya dan Putrajaya, kami ada apartment-apartment yang cantik dengan harga terbaik di Cyberjaya. Hubungi 012-3547636 untuk pertanyaan.

  • Buku-buku Terbitan Kasi Terbit

    Kasi Terbit dah ada banyak koleksi buku-buku yang panas dan bakal memberi manfaat kepada anda. Hubungi 0123547636 untuk mendapatkannya.

  • Buku Hartanah Panas

    Beli 5 buku, kos posnya percuma. Tak kisahlah pos ke Semenanjung atau pos ke Sabah dan Sarawak. Whatsapp 0123547636 dengan keyword 'buku property' ya....

  • Nak jual, beli atau sewakan rumah?

    Saya sedia membantu jika hartanah anda di Lembah Klang atau Pahang. Hubungi saya 0123547636

  • Kasi Terbit dengan koleksi buku panas

    Kita ada koleksi buku-buku hartanah, buku travel dan buku perubatan. Lebih unfo akan ada di sini ya.

Mak, saya sakit...

"Mak, saya sakit..."

"Sabarlah Ain, nanti bila kita dah cukup duit, kita buat pemindahan tu ya... Nanti Ain boleh sihat semula..  Boleh pergi sekolah macam biasa.."

"Tapi bila tu mak?"
................. diam.....


Mungkin begitulah dialog di antara seorang ibu dan anak perempuannya jauh di utara semenanjung Malaysia.
Dialog antara Nur Ain Sakinah yang menghidapi leukimia dan ibunya, Puan Faridah.

Si ibu dan si bapa ingin melihat anak mereka yang sakit ini pulih dan sihat semula.
Anak ini dirawat di Hospital Pulau Pinang.
Doktor memberitahu, Nur Ain boleh pulih semula jika pemindahan sum-sum tulang dapat dilakukan.

Anak sulung mereka iaitu si abang kepada Nur Ain telah bersedia mendermakan sum-sum tulang tersebut kepada adiknya.
Asalkan adiknya pulih.

Namun kos pembedahan dianggarkan berjumlah RM 40,000.

Ya, RM 40,000 mungkin hampir sama nilainya dengan nilai rumah flat yang anda menangi dalam bidaan lelong.
Tapi bagi pasangan suami isteri En Rosni dan Puan Faridah, itulah harga bagi nyawa anak perempuan mereka ini.

Sebagai seorang yang hanya bekerja buruh dan melakukan kerja-kerja kampung, manalah nak dicari amaun sebesar itu?

Menambahkan berat di bahu mereka yang tinggal di Pendang ini, anak lelaki bongsu mereka, Muhammad Alif turut menghidap penyakit yang sama.
Muhammad Alif kini dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya.

Walaupun keadaannya setakat ini tidak seteruk si kakak, namun menanggung 2 anak yang sakit sememangnya terlalu berat untuk mereka galas.


Kisah dua beradik ini pernah muncul di akhbar Utusan Malaysia.
Telah ada yang tampil membantu namun jumlah kutipan masih belum mencukupi.





Perbualan telefon antara saya dan En Rosni sebentar tadi nampaknya memberi berita gembira kepada keluarga ini.
Kami menawarkan untuk menyalurkan wang sumbangan dari program Lend a Helping Hand 2012 untuk membiayai pemindahan sum-sum tulang Nur Ain.

Jika kawan-kawan prihatin dan sudi membantu menambah sedikit dari jumlah wang yang diperlukan, saya mangajak kawan-kawan menyertai Program kami.

Kita berkongsi tajuk-tajuk hebat mengenai pelaburan hartanah oleh pakar-pakar hebat.
Tapi dalam masa yang sama, wang yuran digunakan untuk membantu adik Nur Ain.

Jangan risau mengeluarkan wang RM 150 iaitu yuran seminar ini.
Kerana pasti Allah akan pulangkan semula wang ini berganda-ganda lagi kepada anda selepas ini.

Kami masih membuka pendaftaran dan semua pembayaran yuran perlu dilakukan paling lewat pada 3 Disember 2012.
Selepas 3 Disember, pendaftaran akan ditutup.

Mari menjadi rakyat prihatin. Boleh isi borang pendaftaran di bawah.

 
Share:

Zig Ziglar: harimau barat yang meninggalkan belang


Pernahkah anda mendengar nama Zig Ziglar?

Beliau merupakan seorang penceramah motivasi yang terkenal di dunia. Beliau juga merupakan pengarang lebih kurang 30 buah buku motivasi Dan pembangunan diri.

Antara judul bukunya yang tersohor adalah 'Over the Top', 'See You at the Top' Dan 'Secret of Closing the Sale'.

Selama ini, Ziglar telah banyak mengubah hidup berjuta orang di luar sana dan telah menambah nilai hidup mereka dengan ilmu dan pengalaman yang dikongsinya. Beliau juga telah memenangi pelbagai anugerah di atas sumbangannya ini.

Melalui ziglar.com,  pelbagai ilmu motivasi, teknik jualan dan keusahawanan boleh dicapai dari seluruh ceruk dunia. Beliau bersara pada tahun 2010 namun syarikat beliau terus kukuh dan terdiri dari ramai penceramah motivasi hebat yang memperkenalkan gaya hidup kejayaan berkonsepkan 'the Ziglar Way'.

Namun setiap yang hidup pasti akan mati. Kurang dua belas jam dari blog ini ditulis, iaitu bersamaan dengan hari Rabu 28 November 2012 waktu tempatan, Zig Ziglar telah meninggalkan kita semua.Beliau meninggal dunia setelah berjuang melawan pneumonia yang dideritainya.

Zig Ziglar meninggal dunia di Hospital Texas, Amerika Syarikat pada usianya 86 tahun.

Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama..
Share:

Intensif Jutawan Industri

23 hingga 25 November 2012, Richworks telah menganjurkan seminar Intensif Jutawan Industri. Seminar ini disampaikan sepenuhnya oleh jurulatih kejayaan No 1 Malaysia, Dr Azizan Osman.



Seminar ini sangat bagus kerana ia mengajar kita bagaimana menjadi jutawan dalam industri dalam masa kurang dari 3 tahun. Ia dapat dicapai apabila kita menjadi pakar di dalam sesuatu bidang yang niche dan kemudiannya kita menambah nilai pada orang lain.

Komsepnya mudah. Untuk menjadi kaya, kita perlu bantu ramai orang lain menjadi kaya dahulu.

Ada 3 elemen penting untuk menjadi jutawan industri:

1) Positioning
- bagaimana anda meletakkan diri anda sebagai pakar di dalam sesuatu bidang yang khusus tersebut.

2) Packaging
- bagaimana cara manusia belajar dimanipulasi untuk menghasilkan variasi produk-produk untuk menambah nilai penggunanya

3) Promotion / Marketing
- bagaimana kempen pemasaran dijalankan untuk meningkatkan jualan produk-produk ini mengikut bajet masing-masing.



Selain itu Dr Azizan turut menekankan 6 rukun jutawan industri iaitu:

1) Tulis / Write
2) Kehadiran Online / Online Presence
3) Speaker
4) Pemimpin seminar / Seminar Leader
5) Konsultan / Consultation
6) Coach

Untuk menjadi jutawan industri, seseorang individu perlu melakukan aktiviti- aktiviti ini. Namun begitu, ia tidak semestinya dilakukan langkah demi langkah mengikut nombor. Sebaliknya, individu ini boleh memilih yang mana satu yang boleh dilakukannya dahulu.

Yang paling penting di dalam membina masa depan sebagai jutawan industri adalah bagaimana kita boleh menambah nilai kepada orang lain. Anda juga mengenalpasti apakah masalah mereka yang boleh kita selesaikan.

Bidang yang anda ingin kongsikan di dalam perjalanan anda menjadi jutawan industri ini mestilah bidang yang anda ada minat yang mendalam terhadapnya. Ia mestilah niche supaya anda lebih fokus dan dapat mengurangkan persaingan.

Dr Azizan percaya setiap orang ada cerita mereka sendiri. Cerita ini boleh dikongsi bersama untuk menambah nilai kepada orang lain dan boleh melonjakkan anda sebagai seorang pakar.

Oleh yang demikian, belia berkongsi bagaimana cara untuk peserta menceritakan cerita masing mengenai mereka di dalam industri ini melalui Prinsip U. Ia akan mengandungi maklumat siapa anda sekarang, liku-liku cabaran yang anda hadapi, turning point yang mengubah mereka dan akhirnya apa penyelesaian yang boleh mereka tawarkan.

Selesai seminar ini pada 25 November, peserta kategori Diamond dan Supreme Diamond diberi satu lagi hari tambahan untuk program Mastermind dan sesi perkongsian dengan Bill Walsh.


Namun takkan saya lupa pengalaman makan malam bersama jutawan dan bakal jutawan industri. Ia turut dihadiri oleh Dr Azizan sendiri dan Bill Walsh.





Kehebatan seminar ini tidak boleh digambarkan dengan kata-kata. Anda perlu hadir sendiri dan mengalaminya sendiri seterusnya menerima ilmu hebat ini dari Dr Azizan sendiri.


Update: Sambungan artikel ini  DI SINI.
Share:

10 lagi pelabur disayangi tuhan dicari

Malam tadi saya dan Nicole telah membuat perbincangan mengenai persiapan Lend A Helping Hand

Dah menjadi kebiasaan kami, akan bertemu, brainstorm dan berbincang mengenai tajuk masing-masing yang akan disampaikan.
Tempat pertemuan kami seperti biasa adalah di Pappa Rich, Jalan Klang Lama.
Cendol soya dengan kacang merah kegemaran saya menjadi sumber inspirasi :)

Nicole akan menyampaikan tajuk, "VP: Hak Kami Lebih dari Kunci"
Saya pula akan menyampaikan tajuk "Strategi Pelaburan HArtanah Kalis Gentar"

Apa hak pembeli bila dapat kunci?
Apa strategi pelabur hartanah supaya kebal kepada cabaran semasa yang timbul?

Itu yang akan kami berdua akan kupas.



Selain kami berdua, Tuan Saufi Karim dan Tuan Effendy Zulkefli pun akan menyampaikan tajuk masing-masing yang turut sama hebat.

Maklumat lanjut mengenai program ini boleh dibaca DI SINI.

Setakat ini pendaftaran masih dibuka tapi tempat semakin terhad.
Tinggal 10 tempat kosong sahaja.

Saya harap mereka yang dah mendaftar nama dapat membuat bayaran secepat mungkin untuk mengesahkan kehadiran anda.
Tanpa bayaran yuran, anda dikira tidak berminat untuk hadir.

Kami perlu mengesahkan jumlah peserta kepada penaja air mineral iaitu Dzirhans
dan kami perlu juga mengesahkan bilangan kerusi yang perlu ada di dalam dewan seminar yang ditaja oleh Tuanbri.

Saya dah pun menghantar maklumat pembayaran yuran melalui email kepada semua yang mendaftar nama.
Mohon kawan-kawan yang berkenaan semak mailbox email anda ya.
JIka belum menerimanya, minta maklumkan kepada saya.

Saya tahu kawan-kawan memang baik hati dan memang berniat untuk menderma kepada pesakit kronik.
Jadi jom kita isikan tempat yang terhad ini.

Insya Allah minggu depan saya akan umumkan siapa pesakit yang akan menjadi penerima sumbangan ini ya.

Kepada kawan-kawan yang dah buat pembayaran, terima kasih banyak-banyak.

Saya dapat lihat kali ni ada lebih ramai wanita dari lelaki.
Hebat!
(mesti AE suka mendengarnya..)

Dan ada 2 pasangan suami isteri juga yang akan hadir.
wahhh... jika suami isteri berpakat membuat pelaburan hartanah dengan bijak, di samping bersifat dermawan pula, insya Allah akan dilipatgandakan rezeki tuan dan puan di masa depan

Jika ada yang berminat untuk mendaftar, boleh isi borang di bawah ni.
Nanti saya akan emailkan maklumat pembayaran yuran ya.

Share:

Memerah susu lembu tua: Teka-teki terjawab

Wowww... setakat ini saya menerima 10 komen di blog dan 6 komen di FB berkaitan SOALAN pembaca blog semalam.

Terima kasih kepada Matjoe, Shahril Sidek, Sourplum, ReM, Ruchan, Mohd Aslam, Salfhi, Dzirhans, Wan Infolelong, Khairul Fauzee, Yuliana, Fauzee Affandi, Engku Bujal, Far East dan Carleone atas pandangan anda.

Boleh saya katakan, 90% pandangan mengatakan lebih baik jual, jika wang tersebut akan digunakan untuk rumah pelaburan seterusnya.

Ia boleh digunakan untuk membeli 2 atau 3 buah rumah sekaligus dengan 90% pinjaman, jika pada masa ini selepas menjualnya, Puan A tidak mempunyai pinjaman perumahan langsung atau sekurang-kurangnya ada satu sahaja pinjaman perumahan.

Tuan Shahril Sidek memberi pilihan, jika sayang mahu jual, boleh contohi apa yang dia lakukan DI SINI.
Ya, teknik tu memang menarik juga.

Tuan Salfhi mencadangkan idea yang agak kreatif, jual dan duit itu diletakkan di dalam ASb. dividen ASB dikumpul dan digunakan untuk membeli rumah yang memerlukan deposit yang rendah atau pembelian tanpa modal.
hm... menarik, cuma tak sesuai bagi mereka yang tak berminat melabur di ASB.

Saya juga setuju dengan pandangan Tuan Dzirhans bahawa jawapan itu bergantung pada portfolionya, adakah seorang flipper atau keeper.




1) Flipper

Pandangan saya, jika beliau seorang flipper, jual sahaja dengan harga pasaran.
Beliau akan memperoleh anggaran keuntungan sebanyak RM 146,926.

Tapi, sementara menunggu pembeli yang sesuai, nikmatilah aliran wang positif sebanyak RM 500 itu.
Jangan jadi penjual terdesak.

Dengan duit keuntungan jualan rumah ini, beliau bolehlah beli beberapa hartanah seperti yang kawan-kawan di atas cadangkan.
Pilih mana-mana teknik yang sesuai dengan minat dan portfolio anda, seperti yang pernah saya kongsikan DI SINI.
Boleh beli unit kediaman atau komersial, satu atau beberapa unit.



2) Keeper

Tapi jika beliau seorang keeper, atau ada alasan seperti menyimpannya untuk pendidikan anak atau perkahwinan anak, beliau jangan jual.
Tapi buat pembiayaan semula setakat amaun yang sekurang-kurangnya memberi pulangan lepas-lepas makan atau breakeven sahaja.

saya cadangkan beliau membuat permohonan pembiayaan semula sebanyak 90% dari nilai 340K sahaja bukan 380K
Jika berdasarkan nilai 340K, beliau akan mendapat pinjaman sebanyak RM 306K ( 90% dari 340K).
Apabila ditolak amaun 306K dengan baki pinjaman sebanyak RM 225,108, denda penyelesaian awal (RM 6966) dan anggaran yuran guaman sebanyak RM 5K,  beliau akan memperoleh lebihan sebanyak RM 68,926.

Dengan amaun pembiayaan semula ini,  bayaran bulanan hanyalah sebanyak RM 1568.
RM 1568 + RM 220 (yuran penyenggaraan) = RM 1788.
Berbanding dengan kadar sewa baru sebanyak RM1800, sewa ini memang lepas-lepas untuk membayar ansuran bulanan dan yuran penyenggaraan dengan syarat tiada kenaikan kadar BLR.

So, dengan cara ini, beliau mendapat wang sebanyak RM 68,926 dan aliran wang hampir sifar.


Ada yang pening tengok banyak nombor-nombor?
Maaf lah banyak perkiraan dan matematik dalam artikel ini.
Nak jadi jutawan hartanah, kita kena lah tanya kalkulator.
Tapi kalau nak tanya hati, boleh lah melawat-lawat PAGE ini  :)

Kredit gambar: http://www.freedigitalphotos.net
Share:

Dilema memerah susu lembu tua

Saya menerima satu soalan dari rakan pembaca blog, Puan A.

Beliau berhajat mendapatkan modal untuk membeli hartanah seterusnya dengan memanipulasi sebuah rumah yang beliau miliki sekarang.
Dilema beliau: jual atau buat pembiayaan semula (refinance)?




Berikut adalah butiran rumah tersebut, seperti yang dikongsikan kepada saya.

- Sebuah kondominium di Setapak, projek tahun 1999
- Kondominium ini berkeluasan 1336 sq ft, terletak di tingkat 5
- Beliau beli rumah tersebut pada tahun 2007 pada harga RM 225K
- yuran penyenggaraan sebanyak RM 220 sebulan

- pada tahun 2010, harga pasaran meningkat ke 250K.
jadi beliau dah buat pembiayaan semula sebanyak RM232,215 dengan bayaran bulanan sebanyak rm1077 (lock in period 5thn sehingga 16/11/2015)
- disewakan pada kadar RM 1600, tapi dalam masa terdekat ini, sewa akan dinaikkan ke RM 1800.

Trend kenaikan harga pasaran kondominium ini adalah:
- Tahun  2007 - RM 225k
- 2010 – 250k (kenaikan 11.11% dlm masa 3thn 2007-2010)
- 2011 - 350k (kenaikan 40% dlm masa 1thn sbb Shopping Mall Festival City baru siap)
- 2012– 380k (kenaikan 8.6% dlm masa 1thn) semua MV diperoleh dari Valuer Bank)

Beliau telah membuat sedikit kajian.

1. Sekiranya beliau jual pada harga pasaran RM 380K, setelah ditolak baki hutang bank RM 225,108.40, denda penyelesaian awal (semasa lock in period) sebanyak RM 6966 dan yuran guaman dianggarkan sebanyak RM 1K, beliau akan memperoleh keuntungan sebanyak  RM146,926

2. Sekiranya beliau membuat pembiayaan semula, katakan beliau layak mendapat pinjaman 90% dari harga pasaran, beliau akan memperoleh pinjaman sebanyak RM 342k.
Apabila ditolak dengan baki hutang  (RM 225,108.40), denda penyelesaian awal (RM 6966) dan anggaran yuran guaman sebanyak RM 5K, beliau akan memperoleh lebihan wang sebanyak RM 104,926.


Isunya di sini adalah :

Pada masa sekarang, beliau memperoleh aliran wang positif sebanyak RM 300 sebulan apabila sewa RM 1600 ditolak dengan bayaran ansuran bulanan dan yuran penyenggaraan.
Selepas sewa dinaikkan ke RM 1800, beliau akan memperoleh lebihan wang sebanyak RM 500 sebulan.

Sekiranya beliau membuat pembiayaan semula sebanyak 90% dari RM 380K tadi, bayaran bulanan akan meningkat ke RM 2032 sebulan.
Ini bermakna, ada aliran wang negatif sebanyak RM 432 sebulan (sewa RM 1600) atau RM 232 (jika sewa dah dinaikkan ke RM 1800)

Jadi, jika beliau refinance ke amaun ini, beliau akan memperoleh lebihan wang sebanyak RM 104,926 tapi setiap bulan perlu menambah wang poket untuk bayaran ansuran. Lebihan wang boleh digunakan untuk membeli rumah lain.

Tapi jika beliau menjual, rumah itu akan dilepaskan dan beliau akan memperoleh wang RM 146,926 tadi.


Dilema.. Dilema...

Saya ingin bertanya kawan-kawan, jika anda menjadi beliau, apa yang anda akan lakukan?
-jual?
-refinance?
-biar sahaja dan kumpul je lebihan wang bulanan sedikit demi sedikit?

Kredit gambar: http://www.freedigitalphotos.net
Share:

Orang asing yang dekat di hati

Ahad lepas saya telah berjaya mencipta rekod peribadi.
Menyertai Allianz Penang Bridge International Marathon 2012
dan seterusnya berjaya menamatkan larian half marathon iaitu sejauh 21km dalam catatan masa 3 jam 18 minit




Alhamdulillah... latihan yang saya dan rakan lakukan bermula 2 minggu sebelumnya sangat membantu saya di dalam pengalaman pertama ini
Saya berjaya mengekalkan larian tanpa henti walaupun sekejap perlahan sekejap lagi perlahan
Saya cuma berhenti untuk mengambil air dan mengambil gambar sahaja.
(mengambil gambar dan berposing di atas jambatan adalah antara perkara penting ya . hehe)



Ada 2 pengalaman menarik yang saya nak kongsikan yang berlaku di dalam larian ini

Pertama:

Ketika saya melepasi puncak jambatan untuk kali kedua, iaitu dalam perjalanan pulang, satu bahagian tepi kanan di tapak kaki kiri saya tiba-tiba sakit.
Alamak, saya cuba buat tak tahu tapi ia tetap sakit dan mengganggu larian saya.

Tak mahu ia menjadi lebih sakit, saya ke tepi jambatan
Membuat regangan kaki
Tiba-tiba seorang lelaki india berhenti dan menghulur satu tiub krim panas (heat rub)
"Use this" katanya.

Saya menyambut dan dia terus sambung berlari. Sempat saya teriak
"Thank you!"

Wahh... dia tinggalkan sahaja heat rub ni?

Saya pun menyapu heat rub tu ke tapak kaki saya di bahagian yang sakit tu.
Alhamdulillah, rasa lega.
Saya pun sambung larian sambil memikirkan kepada siapa pula saya perlu berikan heat rub ini.

Kemudian saya nampak seorang lelaki berbangsa cina yang sedang meregangkan kakinya.
Terus saya tawarkan heat rub ini kepadanya dan saya sambung larian.

Tidak lama kemudian, seseorang menepuk bahu saya dan menghulurkan heat rub yang sama.
Rupanya dia mengejar saya dari belakang untuk memulangkan heat rub tersebut.
alamak.. saya nak derma je dah heat rub tu sebab saya pun diderma oleh orang lain tadi kan..

Saya terus berlari hinggalah saya nampak ada seorang lelaki melayu duduk di tepi jambatan sambil menepuk2 kedua-dua betisnya.
Terus saya hulur heat rub tu,
"Sir, take this"

Dia menyambutnya dan saya terus lari meninggalkannya.
Kali ni heat rub itu tidak kembali dah kepada saya.


Apa yang saya nampak, di dalam keadaan begini, orang asing yang tidak kenal satu sama lain saling membantu dan menyokong.
Heat rub yang dibeli dan asalnya dimiliki oleh seorang individu telah bertukar tangan dan membantu beberapa individu yang saling tidak mengenali.

Hebat.



Kedua:

Pengalaman kedua pula adalah seorang wanita yang berumur lebih kurang saya rasanya.
Saya perasan dia semasa berlari.
Ada waktu, dia di depan saya.
Ada waku saya memintas dia.
Kemudian dia pintas saya balik.
Hinggalah bila dah nak nak hujung jambatan, saya memintas dia semula.

Tapi bila tinggal lagi 1 km untuk tamat, saya betul-betul letih.
Larian saya perlahan. Kaki saya dah terasa berat.
Tapak kaki dah terasa sakit dan tebal.

Lagi 500meter, bahu saya ditepuk.
Wanita tadi rupanya, menepuk saya dan senyum, seolah berkata
"Jom, laju lagi. kita dah nak sampai"

Saya terkejut juga tapi sempat senyum balik.
Beliau kemudiannya memintas saya.
Lepas tu saya mendapat semula semangat dan kekuatan untuk melajukan larian.

Walaupun tak berjaya berlari selaju dia, tapi sekurang-kurangnya saya berlari lebih laju di garisan penamat.

Pengalaman ini juga hebat bagi saya... bagaimana orang yang asing bagi kita boleh memberi motivasi dan semangat dengan perbuatan yang simple begini.




Tahniah kepada semua pelari half marathon Allianz PBIM 2012, terutama kepada 2 rakan larian saya, Sunie dan Chan.
We did it!



Insya Allah kita jumpa lagi tahun hadapan di jambatan kedua pula.

Mahu lebih gambar tentang Allianz PBIM 2012, boleh lihat DI SINI.
Share:

teaser: pewter berukir idaman beta

hari ini saya berjaya mendapatkan pewter ini
dan sakit sakit kaki serta keletihan yang dasyat sebagai gantinya


kata orang,
miracle happens not when you finish it
but is when you have the courage to start
Share:

Peluang! Wang Tunai RM10K Melayang ke Sisi

Saya bermula dengan rumah PKNS.

Bangga pula saya mengeluarkan ayat di atas.

Ya, saya mula membeli rumah pertama pada tahun 2006, iaitu sebuah rumah kos rendah yang dibina atas kerjasama PKNS dan Getaris Sdn Bhd.

Kata orang, segalanya bermula dengan langkah pertama kan.

Tiada langkah pertama, tiadalah langkah seterusnya.

Pada masa booking tu, saya terbayang-bayang je kisah-kisah projek terbengkalai.
Takut projek yang saya beli ni pun akan masuk surat khabar atas berita yang sama.

hey, walaupun cuma rm42,500 tapi berpuluh-puluh ribu juga tu kan...

Tapi pegawai jualan ni bagitau saya,
You jangan bimbang... projek ini usahasama dengan PKNS. Kalau projek PKNS, mesti tak terbengkalai punya... PKNS jaga reputasi dia.

Bimbang yang muncul sebelum tu terus perlahan-lahan hilang bila tengok logo PKNS kat flyers projek tu.

Alhamdulillah... kurang 3 tahun kemudian, saya mendapat kunci untuk rumah tersebut
dan di situlah saya menginap sehinggalah blog ini di tulis.



Jadi, bangga saya katakan, PKNS ada sejarah istimewa dalam hati saya

Ada kawan-kawan yang juga ada kenangan manis dengan PKNS?
rumah pertama anda dibina oleh PKNS?
unit komersial pertama?
rumah yang anda duduk sekarang?
atau semua rumah anda memang anda beli dari PKNS?

Untuk mengimbau kenangan manis dan istimewa bersama PKNS ni, ada satu pertandingan yang PKNS anjurkan.
Pertandingan Video Kreatif bertemakan PKNS DI SISIMU.
hadiah utama iaitu wang tunai RM 10,000 ditawarkan, selain hadiah-hadiah lain yang kesemuanya bernilai RM 25,000.

Nak sertai pertandingan ni mudah je.
Kawan-kawan perlu sediakan video kreatif tak lebih 2 minit menggunakan apa jua gadget yang kawan-kawan ada.
Kemudian upload video tu dan kongsikan ke LAMAN YOUTUBE PERTANDINGAN INI.

untuk maklumat lanjut, kawan-kawan boleh tengok video di bawah ini.



Kawan-kawan boleh juga melawat BLOG PKNS ni untuk maklumat lebih lanjut.


P/S: ada yang kreatif nak kasi idea videokan kisah saya di atas untuk pertandingan ni? boleh share-share hadiah.
:)
Share:

Laporan Domain 3

saya masih lagi sibuk menyiapkan rumah domain 3.

peti ais dah masuk. beli 2nd hand dari en fadzil, seorang juruteknik yang buat bisnes part time jual barang elektrik terpakai.
dia tawarkan mitsubishi atau LG.
agak fobia dengan jenama oppa, saya pilih mitsubishi.



malam tadi, satu bahagian dinding dah saya cat untuk menambahkan seri.
saya cat sendiri je. cat kcc paint jenis berkilat dan boleh dilap jika ada kekotoran.
harganya rm112 untuk 5 liter.







mesin basuh pun dah dipasang.
jenama pilihan adalah sharp memandangkan harganya lebih murah tetapi setakat saya pakai, kualiti jenama ni mmg baik dan tahan lama.
harganya rm 570 untuk 6.5kg.



cuma water heater saya ambil jenama pensonic.
sebelum ni saya biasa pakai jenama panasonic.
dari 5 unit jenama ni yang saya pasang, dua daripadanya pernah ada masalah.
tapi bila dibaiki, dia ok. tak delah masalah berulang.



saya pernah pakai joven dan pensonic, setakat ni belum ada masalah.
cuma joven ni kalau pasang air besar, kena set hampir maksima baru air tu cukup panas.
pensonic yang saya pakai di rumah lebih baik.

jadi untuk kali ini saya pilih pensonic untuk water heater.
harganya pun lebih murah.

selain itu, loceng pintu dan rel langsir pun dah pasang.
cuma langsir ni macam terlebih labuh pula.
nak kena pendekkan sedikit.

esok atau lusa orang pasang gril pula akan datang.
kemudian barulah kitchen cabinet.
untuk kitchen cabinet, saluran paip air di bawah sink perlu diubah sedikit.
akan minta tolong plumber indonesia dekat rumah saya nanti

Share:

pantun hajat tak sampai

Almari baju almari buku
Dibuat cantik dari kayu getah
sudah tertulis bukan rezekiku
Ambil semula deposit, beli lain je lah..




Share:

Tempat terakhir pun boleh masuk gambar

Nasib baik juga saya dapat tempat terakhir dalam carta affililiates Pelaburan Hartanah Tanpa Modal
Dapat juga la peluang bergambar dengan otai-otai ni malam tadi

kredit gambar: SK


Cuma yang tak sedapnya, dah la kedudukan tempat terakhir, sampai ke pejabat Tuanbri pun paling lewat
ini gara-gara saya sendiri lah kalut bergerak dari Ken Rimba Shah Alam, kemudian tumpang solat maghrib di rumah kawan di Seksyen 7
Dah tu, Waze di handphone pula tunjuk jalan berbelit-belit ke Jalan Dwitasik.
aduh...

Nasib baik SK tak denda siapa yang datang lewat.. maaf ya SK dan kawan-kawan

dan terima kasih banyak-banyak kepada SK atas hadiah cabaran affiliate ini.
terima kasih daun keladi :)



Ada lagi yang masih tertanya-tanya, boleh ke beli rumah tanpa modal?
Jawapannya ada DI SINI.
Share:

Pinda membawa bahagia

Ada yang masih keliru apabila ingin membeli projek perumahan baru.
Mereka ingatkan ia kondominium, tapi rupanya serviced apartment atau apartment berservis.

Eh eh, serviced apartment ni apa bezanya dengan kondominium atau apartment?
serviced apartment ni dikira unit kediaman ke unit komersial?



Serviced apartment adalah pembangunan projek untuk kediaman tetapi dibina di atas tanah komersial.
Berbanding kondominium atau apartment, ia memang dibina di atas lot tanah kediaman.

Jadi, ia projek komersial ke kediaman?

Sebenarnya isu ini perlu dirujuk pada Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Perlesenan) atau dalam bahasa inggerisnya Housing Development (Control and Licensing) Act.
Kodnya, Akta 118 tapi untuk penerangan ini saya panggilnya HDA ya.
HDA adalah nama manja akta ni di kalangan pemaju dan pelabur.

Sebelum 2007, seksyen 2 akta ini mendefinisikan rumah tempat tinggal adalah untuk bangunan yang dibangunkan dan digunakan untuk tujuan kodiaman tapi tak termasuk bangunan yang didirikan di atas tanah komersial.

Oleh itu, serviced apartment terkeluar dari kategori unit kediaman.
Ini menyebabkan segala perlindungan di bawah akta ini tidak merangkumi serviced apartment.
Tariff bil elektrik dan bil air pun mengikut tariff komersial.

Kesannya, serviced apartment dikira sebagai unit komersial dan segala terma antara pemaju dan pembeli adalah bergantung semata-mata pada perjanjian jual-beli (s&p).

Itu sebab dulu ada banyak kes, pemaju lewat menyiapkan beberapa serviced apartment tetapi pemilik tidak boleh membuat tuntutan di Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah.
Sebab ia tidak dikira rumah kediaman.

Namun bila kerajaan sedar kewujudan banyak serviced apartment dan masalah yang timbul dari pemaju, kerajaan membuat pindaan pada definisi rumah tempat tinggal dalam HDA ini pada tahun 2007.

Rumah tempat tinggal kini didefinisikan sebagai sebarang bangunan yang dibangunkan untuk
- tujuan kediaman sepenuhnya, atau
- separuh untuk kediaman separuh untuk perniagaan,
atau apa juga jenis kediaman yang Menteri telah wartakan sebagai unit kediaman.


Jadi, ini bermakna, selepas tahun 2007, serviced apartment yang baru dibina adalah tertakluk dan dilindungi oleh HDA.
Ini menyebabkan tariff bil elektrik dan airnya adalah mengikut tariff kediaman.
S&P nya standard sama macam kondominium atau apartment lain.
dan jika pemaju lewat menyerahkan kunci, anda boleh membuat tuntutan di Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah.

Jadi, adakah serviced apartment ni dikira unit komersial atau kediaman adalah bergantung pada tarikh kelulusan projek tersebut, sama ada sebelum 2007 atau selepas 2007.
Share:

Lari laju atau tersangkut-sangkut?

ahad depan saya akan memulakan sejarah baru
saya akan berlari dalam kategori half marathon (21 km) di Penang Marathon 2012

Selain saya, ada dua lagi rakan yang insya Allah turut sama berlari untuk kali pertama sejauh ini

Memandangkan saya ada kelas sepanjang hari pada hari sabtu dan setiap petang pun hujan, maka saya dan kawan bercadang untuk berlatih pada sebelah malam.

Kasut Brooks saya yang akan menjadi penyokong kuat nanti


Jadi malam tadi adalah pertama kami berlari malam atas inisiatif sendiri
Lewat sedikit bermula, jam 9.18 mlm sebab sebelum tu saya ada hal di Balakong.
Tengok site projek property baru.

Lewat pun lewatlah.. lari tetap lari
Hebat juga rasanya sebab berjaya menawan MMU cyberjaya sebanyak 2 kali pusingan
Dapat berlari non-stop selama sejam naik turun bukit memang sangat membanggakan diri sendiri.

Malam ni projek berlari terpaksa ditunda memandangkan kawan saya ada kelas
Saya pun ada mesyuarat JMB
Rabu baru sambung semula

Khami nanti, saya dilema sedikit.
Sepatutnya kami berlari lagi
Tapi saya menerima jemputan ke satu majlis meraikan Tuanbri, AE, Shuth dan beberapa otai lain
hm... mana satu patut saya pergi ya?


Tapak projek baru

Tengok kehijauan taman, hilang sekejap rasa frust pada 2 penyedia hosting di Malaysia iaitu INI dan INI.
mereka mencari pelanggan tapi tak berapa mewujudkan suasana layanan khidmat pelanggan yang mesra.
Share:

Penyewa meninggalkan neraka

Kata orang, rumahku syurgaku.
Tapi kalau keadaan rumah dah nak menyamai kapal titanic yang dah beratus tahun tenggelam di dasar laut, adakah ia masih lagi ibarat syurga?

Awal bulan lepas, penyewa rumah kawan saya di Domain 3 @Neocyber berpindah keluar.
Oleh kerana kawan saya bekerja di atas kapal, maka dia meminta saya membantunya.
Jadi saya yang mengambil kunci rumah ini dari penyewa.

Rumah tu sangat bersepah.
Banyak sampah kertas-kertas, kabinet, peti ais dan meja berhabuk dan kotor.
Sink kotor dan nampak macam nak berkarat.







Di dinding,  ditampal dengan sticker lukisan, menyebabkan jika lukisan itu ditanggal, cat akan tercabut.
Ada juga dinding yang catnya sudah pun terkopek,
Cat juga kotor dan ada kekuningan.


Di tandas, hos paip air perlu dibaiki. Air tidak berhenti menitik.

Di bilik pula, pintu almari terkopak disebabkan rel di bawah pintu itu sudah terkopek.
Cat di dinding bawah tingkap kaca pula berkulat kerana cermin itu mengalami sedikit kebocoran jika hari hujan.









Selain itu, lampu di ruang tamu juga mengalami kerosakan.
ada pemegang dekorasi lampu itu sudah patah kerana ia hanya plastik, tapi perlu menyokong penutup kaca yang berat.





Jika kita rujuk kepada perjanjian penyewaan, penyewa sepatutnya memulangkan rumah dalam keadaan asal sebagaimana rumah itu diterima.
Jika semasa mereka menerima rumah tersebut, ia di dalam keadaan bersih, teratur dan cat masih cantik, begitu jugalah mereka perlu pulangkan semuanya.

Tapi bagaimana jika mereka pulangkan dalam keadaan kotor dan rosak perabotnya sebegini?
Jika begitu, kita perlu membersihkannya dan membaikinya segera.
Kos pembaikan akan ditolak dari deposit sewa yang mereka bayar semasa nak menyewa dulu.

Itu sebabnya jika mengambil kunci dari penyewa, kita perlu melihat rumah tersebut dengan penyewa.
Periksa sebanrang kerosakan dan kekotoran yang ada dan tunjukkan kepada mereka.
Anda kena beritahu mereka yang kita akan membersihkan rumah ini tetapi kos pembaikan dan pembersihan akan ditolak dari deposit sewa.

Untuk kes rumah ini, banyak juga kerja perlu dibuat.
Nasib baik juga adik saya sudah tamat belajar.
Dia berminat untuk membuat kerja-kerja pembersihan dan mengubah semula rumah kepada keadaan yang boleh disewa semula.

Saya menawarkannya
Jadi dia pun membersihkannya satu persatu.

Setiap satu perabot dibersihkan, digonyoh dan dilap.
Sampah dibuang.
Lampu diganti dengan yang baru.
Pintu almari dibaiki.
Hos paip air di tandas diganti baru.
Langsir juga dibasuh dan dipasang semula.



Kemudian saya dan adik saya mengecat semula hampir kesemua dinding.
Tapi untuk menjimatkan kos, kami cat semula dengan warna yang sama.
Kalau tak, kena cat keseluruhan dinding pula.




Hasilnya ...









Rumah sewa ni memang kena dibersihkan segera selepas penyewa keluar.
Sebab kita nak cepat-cepat sewakan semula.
Penyewa baru tak mahu tengok keadaan rumah yang kotor apabila mereka melawat.
First impression sangat penting.
Mesti tunjukkan rumah tu dalam keadaan bersih dan cantik.

Semua kos pembaikan dan pembaikan ditolak dari deposit sewa kecuali kos menukar lampu di ruang tamu.
Sebab kami dapati hal lampu itu bukan kesalahan penyewa, sebaliknya rekaan lampu itu sendiri.
Jadi, kos membaiki lampu ditanggung oleh rakan saya iaitu tuan rumah.

Kalau ada kawan-kawan yang sibuk dan tak sempat nak mempersiapkan semula rumah, bolehlah mengupah orang melakukannya.

Jika berminat untuk mendapatkan perkhidmatan yang ditawarkan oleh adik saya ini, boleh hubungi dia di talian 010-2207586 (Mieta)
Share:

Risiko pinjaman dan jaminan sewa

Semalam saya ada menerima satu soalan cepu emas susulan dari perkongsian saya mengenai Terminal Pahlawan DI SINI.

Soalan dari tuan Derok, iaitu


Salam, Saya ada beberapa persoalan
1. Bagaimana jika loan pembeli tidak diluluskan oleh bank setelah unit siap, adakah pihak pemaju akan pulangkan semula wang 30% tersebut atau beberapa % ?
2. Beberapa bulan yang lepas, saya ada ditawarkan program seperti ini, unit kediaman di Serdang, pemaju menjanjikan beberapa % hasil sewa, segala urusan sewa, pemaju yang uruskan, tapi saya tidak terima pelawaan itu, kerana "takut", apakah yang menyebabkan Cik Rohaniah membeli unit pahlawan ini selain dari hal persekitaran? apakah yang menyebabkan Cik Rohaniah percaya? Apakah dokumen2 yang harus kita teliti untuk mempercayai "program" seperti ini?
saya tak reti bab2 under construction ni..mohon penjelasan.
tq

Pertamanya, saya nak ucapkan terima kasih kepada beliau kerana sudi mengunjungi blog saya.
Walaupun blog ni tak berapa popular dan ranking Alexa tak naik-naik ni, tapi bila tengok kawan-kawan sudi datang baca, itulah yang memberi semangat kepada saya untuk terus menulis.


OK, ini jawapan saya setakat yang saya tahu dan setakat saya dimaklumkan oleh penjual pemaju.

1) Memandangkan pembeli tandatangan S&P dahulu sebelum mendapat pinjaman, memang ada risiko pinjaman tidak diluluskan. 
Jika ia berlaku selepas kita mencuba beberapa bank, kita bolehlah menambah nama lagi untuk menguatkan permohonan kita.
Ini dipanggil pinjaman pihak ketiga atau third party loan.

Atau, kita masukkan nama dia sebagai penjamin (guarantor) untuk pinjaman tu.
Jika tak lulus juga, kita boleh cuba berbincang dengan peguam untuk membuat perjanjian jual-beli baru dengan menambah nama pemohon yang profilenya lebih kuat.
Pembeli perlu membuat bayaran yuran guaman tambahan lah untuk kerja ini.

Dalam kes ini, memandangkan kami beli melalui JV bersama rakan-rakan, situasi di atas boleh dilakukan.
Lagipun harganya tak tinggi mana sebab kami beli unit yang kecil sahaja.

Cuma, kalau dah tahu nak mohon pinjaman untuk projek ini, penama di s&p perlu cepat-cepat cantikkan profilenya. Ada masa untuk itu.


2) Guarateed Rental Return ni memang kita kena berhati-hati.
Kata orang, there is no such guaranteed is guaranteed.
Penjual pemaju / agen boleh berjanji bulan dan bintang. Terma boleh kelihatan cantik di atas kertas.
Tapi bila unit tak tersewa, pembangunan projek ada masalah atau pembangunan di kawasan tu tak meningkat seperti dijangkakan, guarantee hanya tinggal nama.



Oleh yang demikian, penting untuk lihat beberapa perkara:

A - GRR itu antara pembeli dan siapa? Adakah terus dengan pemaju? atau kepada pihak ketiga?
ada kes-kes yang pembeli A beli kondo dari pemaju B. Pemaju B tubuhkan anak syarikat C untuk uruskan hartanah tu. Jadi GRR adaah di antara A dan C.
Dalam kes ni, jika pembangunan bermasaalah atau permintaan sewa tidak seperti diharapkan, syarikat B boleh jadi bankrap atau ditutup, Pemaju B lenggang kangkung sebab dia bukan pihak kepada perjanjian.

Jadi, pastikan GRR yang ditandatangani tu antara pembeli A dan pemaju B sahaja.


B - latar belakang pemaju
Ini perkara penting. Anda perlu semak latar belakang pemaju betul-betul.
Adakah mereka mempunyai rekod projek yang hampir sama dan berjaya?
Adakah ini kali pertama bagi mereka?
Adakah semua projek mereka sedang dalam pembinaan dan belum siap?

Atau adakah sebelum ni, pemaju ni tak buat pembangunan hartanah, tapi cuma sebagai kontraktor bangunan sahaja?

Jika jawapannya kurang meyakinkan, anda tahu apa yang perlu dibuat.

C - logik ke bulan dan bintang yang dijanjikan tu akan muncul?
ada beberapa projek yang menawarkan GRR gagal kerana janji yang mereka berikan tu terlalu tinggi atau terlalu hebat.
contoh: ada satu kondominium di Mantin. Kononnya akan jadi penginapan kepada pelajar memandangkan ada satu kolej swasta di situ.
Kadar yang dijanjikan memang menarik.
Tapi bila dah siap, penyewa tak ada. jaminan hanya atas kertas sahaja.
Sudahnya, ramai disytiharkan muflis kerana gagal membayar wang ansuran bulanan.
Boleh baca DI SINI

Semasa membeli, kita kena lihat, adakah logik kawasan itu akan mempunyai permintaan yang tinggi?
adakah kawasan itu sudah membangun?
Berapa hebat kolej tersebut?
Berapa ramai pelajarnya sekarang?
Berapa ramai pelajar yang mereka nak ambil pada tahun kondominium itu siap?
adakah fasiliti kolej itu menunjukkan ia mampu mengambil pelajar seramai itu?
Bandingkan pula dengan kadar sewaan semasa. Adakah kadar yang dijanjikan tu sama dengan kadar pasaran semasa?
Atau kadar semasa jauh lebih rendah?

 Nasi ayam pun ada GRR?


Selain kediaman pelajar, GRR banyak juga ditawarkan oleh projek-projek resort atau hotel.
Yang ini, kena lihat betul-betul, adakah hotel tersebut berada di tempat peranginan atau di kawasan pusat bandar?
jika di tempat peranginan, cuba lihat berapa hangat tempat peranginan tersebut.
adakah permintaan hotel di sana sekarang sudah pun tidak mencukupi?
atau dia baru nak buka resort baru di tempat baru?

jika di pusat bandar seperti KL atau Melaka, mungkin sambutan untuk penginapan lebih baik sebab pelanggan bukan sahaja pelancong tetapi mereka yang berurusan atas hal kerja juga.

Tapi jika di satu pantai terpencil atau pantai yang suam-suam kuku?
atau pantai yang dah terlalu banyak resort di sana dan resort yang ada pun masih boleh tampung permintaan?


JIka jawapan kepada soalan-soalan  ini kurang meyakinkan, seeloknya katakan terima kasih dan berlalu sahaja dari projek itu.

Nota: Terima kasih kepada Aslam kerana sudi membuat amal jariah DI SINI.

Kredit Foto: FreeDigitalPhotos.net
Share:

Terminal Pahlawan, Melaka: Rahsia S&P terbongkar

Ramai kawan-kawan tertanya-tanya mengenai S&P yang saya previewkan tempoh hari
Mereka mahu saya berkongsi mengenainya


Rahsia kini terbongkarrrr...  hehehehe

Sebenarnya ia adalah S&P untuk satu lagi projek komersial saya dan rakan-rakan.

Kami beli satu unit di Terminal Pahlawan, Melaka.

Terminal Pahlawan merupakan satu projek komersial oleh Hatten Group.
Ia bersambung dengan Hatten Square dan Hatten Hotel, berada bertentangan dengan Dataran Pahlawan.


Terminal Pahlawan sendiri terbahagi kepada 2 sayap.
Sayap di belakang adalah terminal bas persiaran di aras bawah dan hotel boutique di aras 3.
Akan ada 30 coaches bay di sana nanti.

Manakala sayap dihadapan adalah 250 unit lot-lot retail dari tingkat bawah hingga tingkat 4.
Tempat letak kereta pun ada sebanyak 3 tingkat.


Menariknya projek ini bagi saya adalah

1) Harga

Harga jualannya sebelum diskaun adalah sama dengan harga subsale retail lot di sini.
Biasanya projek baru, harga jualannya per sqft adalah lebih tinggi sedikit dari projek sedia ada kan.
Saya membuat perbandingan harganya dengan harga pasaran per sqft di Dataran Pahlawan.
Kemudian, harga selepas diskaunnya pula lebih rendah dari harga pasaran Dataran Pahlawan.
Jadi, saya melihat peluang kenaikan harga yang bagus apabila ia siap nanti


2) Booking

Booking cuma RM 10,000. Kemudiannya, apabila menandatangani S&P baru bayar baki 10%



3) Diskaun

Untuk pembeli awal, ada diskaun 15% dari harga jualan.
Tapi bila ia dilancarkan, diskaun tinggal 10% sahaja.
Kami bernasib baik kerana dapat tangkap unit ini sebelum pelancaran.



4) Sambungan dan jaringan ke Dataran Pahlawan dan pusat perlancongan

Saya tertarik dengan pelan pembangunannya.
Dari Terminal bas, pelancong naik eskalator ke hotel boutique atau menginap atau terus ke Terminal Pahlawan untuk membeli belah.
Dari Terminal Pahlawan, ada laluan terus ke Hatten Hotel dan pusat membeli belah Hatten Square di sebelah kirinya.
(saya pernah tinggal 2 malam di Hatten Hotel, ia sangat cantik.
cafenya cantik dan makanannya sangat sedap. hehehe)

Pelancong juga boleh menggunakan jejantas dalam untuk melintasi jalan besar menuju ke Hatten Square wing seberang jalan yang terus menghubungkan Dataran Pahlawan.
Keluar dari Dataran Pahlawan, pelancong terus berada di taman menuju ke A Famosa, Gereja St Paul, Stadhyus, muzium dan tempat-tempat perlancongan yang lain.

Ia sebuah pembangunan beberapa projek komersial yang bersambung antara satu sama lain, jadi pelancong tidak perlu keluar bangunan, berpeluh-peluh berjalan di bawah panas matahari untuk ke tempat lain.


4) Sewa semula (leaseback) selama 2 tahun

Setiap unit diwajibkan menyewakannya semula kepada Pemaju iaitu Hatten Group selama 2 tahun dengan pilihan untuk renew lagi 2 tahun.
Hatten akan bayar sewaan kepada pemilik sebanyak 7% pada tahun pertama dan 8% pada tahun kedua.
Jika nak renew, kadar baru akan ditentukan tapi tak kurang dari 8% lah.
Jadi, bagi saya, ini satu kelebihan memandangkan biasanya unit komersial akan mengambil masa 1-2 tahun untuk matang dan penuh disewa.


5) DIBS, 30/70

Pemaju menawarkan pakej DIBS kepada pembeli.
Jadi, pembeli tak perlu membayar progress payment semasa unit sedang dibina.
Tapi pembeli perlu membayar 30% dari harga unit secara berfasa mengikut progres pembangunan.

Mula-mula, bayar 10% semasa tandatangan s&P
kemudian bayar lagi 10% beberapa bulan selepasnya bila pembangunan piling semua dah siap
kemudian tambah lagi 10% beberapa bulan kemudian
Kemudian tak perlu buat bayaran dah. tunggu je unit siap.


6) Mohon pinjaman kemudian
Selalunya, bila kita membeli sesuatu unit hartanah, kita kena cepat-cepat buat pinjaman.
Tapi kali ini ada unik sedikit.
Tak boleh buat pinjaman lagi.
Hanya beberapa bulan bila unit dah nak siap, barulah semua pemilik boleh memohon pinjaman dari bank.
Jadi, bila pinjaman diluluskan, boleh terus disburse apabila unit dah hampir dapat kunci.

Ini satu kelebihan terutama kepada saya yang komitmen pinjaman agak tinggi sekarang.
Jadi, ada sempat masa untuk strukturkan pinjaman semula atau jual mana-mana hartanah yang nak diflip.


7) Melaka negeri Maju

Pasti ramai yang tertanya-tanya, kenapa Melaka?
jauhnya...

jawapan saya, sebab Melaka negeri maju
Melaka negeri yang dapat pengiktirafan UNESCO
Melaka ramai pelancong
Melaka negeri yang kecil
Tapi harga di Melaka masih murah berbanding KL atau Pulau Pinang

Saya pun beli unit komersial, jadi tenant management lebih mudah.
Rumah saya ke Melaka cuma 1 jam setengah.


Share:

Disclaimer

This blog is for information and experience sharing. The authors are not responsible for any loss or damages caused by the manipulation and application of information obtained from the blog.

Highlight

Pengeluaran RM500 KWSP sempena serangan Covid 19. Apa kesannya?

Masih lagi dalam Arahan Kawalan Pergerakan. Semalam Perdana Menteri kita membuat pengumuman, rakyat Malaysia boleh keluarkan wang dari aka...

Popular Posts

Translate Blog

Blog Archive

Arkib Blog