• Apartment di Cyberjaya untuk disewa

    Untuk mereka yang bekerja di Cyberjaya dan Putrajaya, kami ada apartment-apartment yang cantik dengan harga terbaik di Cyberjaya. Hubungi 012-3547636 untuk pertanyaan.

  • Buku-buku Terbitan Kasi Terbit

    Kasi Terbit dah ada banyak koleksi buku-buku yang panas dan bakal memberi manfaat kepada anda. Hubungi 0123547636 untuk mendapatkannya.

  • Buku Hartanah Panas

    Beli 5 buku, kos posnya percuma. Tak kisahlah pos ke Semenanjung atau pos ke Sabah dan Sarawak. Whatsapp 0123547636 dengan keyword 'buku property' ya....

  • Nak jual, beli atau sewakan rumah?

    Saya sedia membantu jika hartanah anda di Lembah Klang atau Pahang. Hubungi saya 0123547636

  • Kasi Terbit dengan koleksi buku panas

    Kita ada koleksi buku-buku hartanah, buku travel dan buku perubatan. Lebih unfo akan ada di sini ya.

NAK SEWAKAN RUMAH SENDIRI. TAPI MULA DARI MANA?

Dah bersemangat nak sewakan rumah, tapi blur tak tahu macamana nak bermula?

Haaa mari saya ceritakan secara ringkas dan padat 5 langkah macamana nak sewakan rumah anda.

Ini kalau korang buat sendiri la.. tak pakai agent. 

Kalau pakai agent, langkah 2, 3 dan 4 tu agent uruskan.



Ok, apa 5 langkah tu?


1. Cantikkan rumah

Periksa rumah tu. Adakah ia dalam keadaan yang sesuai untuk diduduki? Yelah.. Kalau rumah kotor, penuh sampah, dinding pula dah penuh dengan lukisan mural yang tak sepatutnya, pening kepala orang yang datang tengok rumah weh.

Orang kata, cinta pandang pertama. Macam tu juga dengan rumah. Biar bakal penyewa rumah datang tengok, mata mereka terbuntang kagum. Terus dari mata jatuh ke hati. Senang mereka setuju nak sewa dengan harga yang kita mahu.

Kalau rumah tu kita nak sewakan dengan perabot, cuba periksa balik perabot yang ada. Kot ada kerusi yang dah goyang-goyang kakinya. Kot tilam dah macam penuh dengan spora dan warna pun dah jadi warna kuning pekat. Takpun pintu almari baju dan habis tercabut.

Mana yang boleh baiki, kita baiki. Mana yang tak boleh baiki kena la beli lain. Ganti yang dah rosak. Kalau tak ada bajet nak ganti, kita terpaksa la sewa dengan perabot yang tak lengkap seperti sebelumnya. Mungkin sewa jatuh sikit, mungkin sama. Bergantung pada permintaan sewa nanti.

Begitu juga dengan peralatan dan suis elektrik yang rosak. Kena periksa dan baiki la. Walaupun sekali imbas tak nampak kerosakan begini, tapi pening juga kita kalau penyewa baru masuk, mereka dah bising mesin basuh rosak, peti ais tak sejuk atau power plug tak boleh guna.

Kita juga yang serabut.

Pendek kata, cantikkan, baiki dan hiaskan rumah sampai ke tahap yang kita sendiri rasa selesa nak duduk.


2. Letak iklan


Hah, ni penting. Tak letak iklan siapa tau kita ada rumah nak sewakan weh. Rumah cantik menawan macam istana pun, setakat lipas dan cicak duduk free je la kalau bakal penyewa tak tau rumah tu wujud. 

Iklan ada yang berbayar ada yang percuma. Ada iklan online ada iklan ala tradisional, tampal atas papan notis. Antara iklan online adalah di laman web seperti blog sendiri, facebook, mudah.my, propwall, iproperty dan caribilik.com. Iklan tradisional pula boleh tampal secara sah di papan notis JMB apartment atau di 7Eleven. Nak tampal secara haram di perhentian bas pun boleh.. Tapi bersedia la kalau orang Majlis Bandaran koyakkan atau ambil tindakan yang sepatutnya.


3. Temujanji dan bawa tengok rumah


Bila dah ada yang menelefon, tapis la sikit bakal penyewa dulu. Kalau kerjanya ok, profil bakal penyewa pun ok, kita tetapkan tarikh untuk temujanji melihat rumah tu dulu. Sebenarnya bukan sahaja bakal penyewa nak tengok rumah, kita sebagai tuan rumah pun nak tengok macamana gaya bakal penyewa. Imej kemas ke, rambut mohawk ke, ada tatu kat tangan ke.. Haaa.. Mana tau kan.

Kalau pakai kemas, tepat pada masa dan kerja elok, ada petanda penyewa dari syurga. Kalau nampak lain macam, risau juga takut bakal penyewa hantu. Scary jadinya hidup kita lepas tu.


4. Terima deposit dan tandatangan perjanjian


Bila bakal penyewa dan tuan rumah dah bersetuju, penyewa perlu bayar deposit sewaan dan tandangan perjanjian sewaan. Wajibkan ambil deposit 2+1+ separuh bulan deposit utiliti. Kalau ambil kurang dari tu, risiko lebih besar kepada tuan rumah bila penyewa ni jenis penyewa hantu. Tak reti nak jaga rumah elok-elok atau tak bayar sewa.

Perjanjian sewaan pun penting. Janji dengan air liur memang boleh.. Jimat, tak payah cetak, jima kertas, jimat dakwat printer, jimat tak payah matikan setem. Tapi kalau ada apa-apa berlaku, nak rujuk air liur mana sebagai bukti?

Jangan lupa, perjanjian sewaan perlu dimati setem. Kalau tak mati setem, perjanjian tu tak boleh dijadikan bukti di mahkamah. Lagipun, kalau nak buat pinjaman baru untuk beli rumah, kita kena buktikan yang kita ada pendapatan sewa dari pinjaman rumah sedia ada. Perjanjian sewaan yang dah dimati setem ni dan penyata akaun bank yang duit sewa dimasukan yang perlu kita hantar ke bank nanti.

Nak matikan setem mudah sahaja. Pergi ke pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri dan bayar caj mati setem yang telah ditetapkan oleh LHDN, berdasarkan berapa kadar sewa dan tempoh sewaan.  Caj mati setem ni biasanya ditanggung oleh penyewa. Jadi, buat anggaran dan minta siap-siap dari penyewa sekali dengan deposit rumah ya.


5. Kutip bayaran sewa dan uruskan penyewaan


Tetapkan berapa haribulan penyewa kena bayar sewa. Bila tarikh tutup kena bayar. Pastikan penyewa bayar sebelum atau pada masanya. Di zaman media sosial ni, minta penyewa bank in duit sewa ke akaun bank dan pesan dia whatsapp bukti bayaran ke tuan rumah setiap bulan. Senang nak pantau kan.

Kalau ada sebarang kerosakan disebabkan tear and wear, iaitu penggunaan biasa dan rosak akibat usia peralatan, tu tuan rumah la baiki. Jangan jadi tuan rumah buaya. Tau nak makan sewa je. Rumah bermasalah nak lepas tangan. 

Tapi kalau kerosakan tu disebabkan penyewa cuai atau geram sangat bergaduh dengan aweks sampai tendang pintu, haaa yang tu penyewa tanggung sendiri lah ya. Kena baiki sendiri guna duit sendiri. Tak baiki, tuan rumah boleh tolak dari duit sewa.


Ulang sampai mati





Haa.. Begitulah proses nak menyewakan rumah dengan penerangan yang padat yang boleh saya beri. 

Nanti bila penyewa berpindah keluar, ulang sahaja proses ini dari nombor satu sampai lima selagimana rumah tu rumah kita, atau selagimana jasad kita masih bernyawa.


Larat ke tak?

Sanggup ke tak?

Kata nak kaya dengan hartanah kan. Nak ada pendapatan pasif dari rumah sewa katanya. Jadi ini semua perkara asas. 


Jangan risau, buat dulu. Bila dah buat nanti, kita akan jumpa banyak perkara lagi. Dari pengalaman itulah kita belajar.


***

Petikan dari buku Penyewa Hantu Tuan Rumah Buaya. Tulisan saya sendiri.

Share:

Booktalk percuma. Tolong Luluskan: Strategi Pinjaman Rumah yang Anda Belum Tahu

Ramai nak beli rumah, tapi bila submit dokumen ke bank, permohonan pinjaman tak lulus.

Lagi sadis, belum bagi apa-apa dokumen pun. Baru bagitau profil kerja apa, gaji apa, pinjaman sedia ada apa... agent rumah terus geleng. 

Loan sure tak lepas.

Sakit hati kan.


Haaaa... kes macamni, korang wajib baca buku Tolong Luluskan: Strategi Pinjaman Rumah yang Anda Belum Tahu. Buku ni tulisan Kenny Lee Chia Sern. 

Terbitan Kasi Terbit (saya la tu) pada Jun 2020.

Untuk pengetahun korang, saya dan kawan penerbit, Dua Penulis, ada tubuhkan satu kelab pembaca dan penyokong. Namanya kelab tu KUDOS. Shortform untuk Kelab Untuk Dunia Ohsem berSama.

Jadi ahli ni percuma je. Tapi ada banyak benefit seperti diskaun dan kos pos. Nanti saya cerita dalam posting lain.


Jadi, bulan ini, KUDOS nak bawa satu event secara online. 

Booktalk buku ini, Tolong Luluskan: Strategi Pinjaman Rumah yang Anda Belum Tahu.

Dah tentu la yang akan share semasa booktalk ni adalah Kenny Lee, penulis buku ini.



Kenny akan share apa yang terkandung dalam buku pertamanya ini. Khabarnya dia ambil masa 4 tahun untuk tulis buku ni sampai jadi buku. Haaaa.. nanti Kenny akan cerita the untold stories.

Kemudian kita akan buka sesi Tanya Kenny berkaitan pinjaman rumah ni. Haaa boleh la tanya apa sahaja yang tak faham atau yang perlukan pencerahan.

Untuk maklumat, semasa menulis buku ini, Kenny bekerja sebagai Mortgage Officer di sebuah bank terkemuka. 

Sesi ni akan mengambil masa dalam 50 minit -1 jam melalui Zoom.

PERCUMA untuk semua ahli KUDOS.


Jadi saya nak jemput semua kawan-kawan hadir ke booktalk online ni. Percuma sahaja.

Untuk join, daftar je jadi ahli KUDOS di alamat url http://bit.ly/kudos2021

Lepas isi borang, klik link FB Group Kudos ya.

Kat FB Group tu nanti akan dikongsikan link dan password event ni.


Ok, jadi jemput hadir.

Isni borang pendaftaran Kudos: http://bit.ly/kudos2021


Share:

Jual Rumah pun Kena Ada Peguam ke?

 Selamat hari Selasa, kawan-kawan.

Semalam, saya kongsikan artikel ini dalam KUDOS. Artikel mengenai Peguam bila Menjual Rumah.

KUDOS ni adalah kelab pembaca dan penyokong buku-buku terbitan Kasi Terbit dan Dua Penulis.

Kasi Terbit tu rumah penerbitan buku saya la.

Dua Penulis pula, rumah penerbitan yang dimiliki oleh kawan saya Norsa'adah Ahmad dan juga Dr Noor Hayati Yasmin.

Jadi alang-alang sebut pasal KUDOS ni, saya jemput la kawan-kawan pembaca blog saya untuk jadi ahli KUDOS ni juga. Daftar free je. Bila jadi ahli, kalau beli buku dari saya atau Dua Penulis, kos pos adalah percuma. Tak kira la beli banyak mana buku.

Nak daftar ahli KUDOS, klik link ni ya -> http://bit.ly/kudos2021


Ok balik pada artikel ini.. 

Jual Rumah pun Kena Ada Peguam ke?

Sebagai penjual rumah, kita juga memerlukan perkhidmatan lawyer untuk uruskan dua perkara penting.

1) dapatkan kebenaran pejabat tanah dan pihak berkaitan untuk menjual rumah tu. Ini yang selalu dipanggil consent pejabat tanah dan / atau LPH jika rumah kos rendah.

2) proses keluarkan gadaian rumah tu dari bank. Sebab masa beli rumah tu dan buat pinjaman bank, kita sebenarnya cagarkan rumah tu ke bank. Bila nak jual dan hakmilik kena ditukar, kita kena keluarkan gadaian tu dulu. Ini dipanggil discharge of charge.

Kita sebagai penjual, boleh lantik lawyer sendiri atau tumpang je lawyer buyer.

Kalau tumpang lawyer buyer, dapat lah kita jimat kos lawyer. Cuma bayar dalam lebih kurang RM1500-1800 untuk dua kerja di atas, dan beberapa tugasan kecil lain.

Kalau lantik lawyer sendiri, kita kena bayar caj lawyer dengan kadar yang sama macam buyer bayar lawyer dia. Formula bayaran lawyer untuk rumah bawah RM500k adalah 1% dari harga rumah + RM1500-1800 untuk bayaran search, bayaran pentadbiran ke pejabat tanah, upah isi borang CKHT dan lain-lain.

Kalau lawyer buyer ni REN yang jualkan rumah ni uruskan dan nampak kes ini tak complicated, boleh tumpang lawyer buyer je. Tak perlu keluar kos lawyer yang banyak.

Tapi, kalau buyer tu lantik lawyer sendiri dan bukan lawyer yang REN uruskan, lebih baik kita sebagai penjual ada lawyer sendiri. Sebab REN yang jualkan rumah kita tu tak kenal lawyer tu. Dia pun tak pasti macamana lawyer tu bekerja.

Begitu juga kalau REN yang jual rumah kita tu co-Agency dengan REN lain. REN yang kita lantik tu pun mungkin tak kenal lawyer tu dan apa-apa isu kena rujuk REN yang dia coA tu dulu.

Lawyer adalah individu penting dalam urusan jual beli rumah ni.

Nak jimat caj lawyer biar selamat.

Boleh faham, kawan-kawan?



Share:

5 filem yang buat saya depression dan terganggu berhari-hari selepas menonton

Dua hari lepas, saya janji nak kongsi 5 movie yang buat saya terganggu berhari-hari selepas menontonnya. Tapi semalam saya agak kalut, kemudian saya buat larian 21km untuk klscm virtual run 2020, buat saya jadi tak sempat.

Ok, ini 5 filem yang saya tengok yang buat rasa depressing dan mengganggu saya selepas beberapa hari menonton.



1. Hachiko.

Kisah benar ni, memang boleh buat kita menangis dua tiga hari selepas menontonnya..saya dah beli DVD filem ni dah lama. Tapi saya tak ada keberanian menontonnya sehinggalah tahun 2018 kot. Sedih tu dah tentu bila lihat anjing bernama Hachi ni setia menunggu tuannya balik dari kerja di stesen keretapi setiap hari. Sedangkan tuannya dah mati ketika di pejabat. Tu sebab tak dapat balik naik keretapi macam biasa. 

Yang paling mengganggu saya adalah, kenapa tak ada sesiapa tunjukkan mayat tuannya kepada Hachi? Atau sekurang-kurangnya bawak dia semasa upacara perkebumian? Biar Hachi tau.

Arhh.. Ini kisah benar. Mengingati pun buat saya sedih dan pilu.



2. Marriage Story

Saya percaya filem ni patut menang oscar..bukan parasite. Ok, tapi saya bukan juri.

Filem ni menunjukkan betapa fragile satu perhubungan tu. Dah berkahwin, kelihatan gembira. Ada seorang anak. Ada kerjaya. Tiada sesiapa ada orang ketiga. Tetapi isterinya tiba-tiba mahu berpisah.

Kita ingat perkara-perkara yang dianggap remeh tu, bila dibincang dan pasangan tak setuju, ia habis begitu sahaja. Tapi rupanya tidak. Sedih juga lihat suami dia. Tapi dia buat saya menung, perempuan boleh nekad begitu bila dah tak mau.




3. Silenced, filem Korea.

Filem ni juga kisah benar. Bagaimana watak utama seorang guru membawa dan membongkar kisah penderaan seksual oleh sesetengah guru berpengaruh ke atas pelajar-pelajar pekak di situ. Kejahatan manusia, kezaliman dan bagaimana mereka manipulate undang-undang hingga terlepas buat saya geram dan marah. Adakah dunia ini hanya untuk memuaskan nafsu dan menggembirakan hati lelaki zalim sahaja?  Soalan ini yang mengganggu fikiran saya berhari-hari.

Yang menggeramkan kerana endingnya bukan baik. Bukan akhirnya pesalah menerima hukuman. Tidak. Kalau begitu, kita tersenyum riang. Tapi endingnya mereka bebas selepas melakukan penderaan dan pencerobohan seksual dan memberi trauma kepada pelajar-pelajar itu. Sakit hati bila teringat.



4. Aashiqui 2, filem Hindi.

Filem ini bukan tentang salah seorang pasangan beralih hati macam Marriage Story tadi. Kedua-dua pasangan sangat utuh hatinya. Si kekasih lelaki bernama Rahul, seorang penyanyi terkenal. Dia membawa kekasihnya, Arohi, yang berbakat besar, masuk ke dalam industri. Dia percaya pada bakat Arohi dan melatihnya. Dia memang seorang yang selalu minum arak. 

Arohi semakin popular. Rahul pula semakin alcoholic hingga menyebabkan dia ada masalah disiplin. Dia hilang populariti dan hilang banyak job. Akhirnya dia depress dan semakin alcoholic. 

Arohi cuba membantu kekasihnya, walaupun sibuk dengan jadual sebagai penyanyi terkenal. Rahul pula merasakan dirinya sebagai bebanan pada Arohi, lalu akhirnya membunuh diri. 

Sampai hari ni saya amat meminati lagu-lagu soundtrack filem ni kerana melodinya yang sangat merdu dan lirik yang sangat deep. Terutama lagu Sun Raha Hu. Lagu mengenai mencari seorang yang benar-benar mendengar.

Filem ini sebenarnya remake filem Aashique yang pertama yang ditayangkan pada tahun 90an. Namun jalan ceritanya hampir sama dengan A Star is Born.




5. A Star is Born

Jalan cerita hampir sama dengan Aashiqui 2 namun ia sebenarnya remake filem tajuk yang sama yang ditayangkan pada tahun 1937. 

Jackson, seorang penyanyi rock terkenal berkenalan dengan Ally, seorang yang bercita-cita mahu menjadi penyanyi profesional. Jackson dan Ally berkenalan dan Ally berkongsi satu lagu yang dia cipta. Dalam satu persembahan pentas, Jackson menyanyikan lagu Shallow yang Ally tulis itu dan mengajak Ally untuk menyanyi bersama di atas pentas. Selepas itu orang mula nampak Ally. Namun Jackson sebenarnya ada masalah alcoholic dan masalah kesihatan pendengaran.

Jackson kemudian membawa Ally menyanyi bersama dalam tour dia. Ally kemudian menjadi penyanyi terkenal sehingga memenangi Grammy Award. Pada masa tu Jackson dan Ally dah berkahwin. Sedihnya, Jackson  mabuk ketika Ally menerima anugerah. Jackson susah hati kerana dia dah hilang job dan hilang populariti sedangkan Ally sedang meningkat naik.

Semasa Ally di atas pentas menerima anugerah, Jackson dalam keadaan mabuk naik sama. Di atas pentas, semasa sedang berucap, Jackson terkencing dalam seluar. Ini menjadi berita hangat.

Ally sepatutnya ada tour concert. Dia memutuskan untuk membawa Jackson menyanyi bersama, macam suatu masa dulu Jackson bawak dia. Tapi dalam diam, pengurus Ally berjumpa Jackson dan memberi kata-kata pedas kepadanya. Jackson dikatakan menjadi beban dalam hidup Ally.

Akhirnya Jackson minum pil tidur yang banyak dan menggantung diri. 

Bagaimana seorang yang bermasalah alcoholic dan depression boleh meninggalkan isteri yang amat sayang padanya? Jika ia menjadi beban, adakah dengan meninggalkannya akan membuat isterinya boleh menyanyi tanpa terganggu dengan masalah diri dia lagi? Adakah betul walaupun saling sayang, sesebuah hubungan boleh jadi sebegitu racun kepada seorang lain sehingga selayaknya salah seorang putus asa dan pergi?

Saya baru tonton filem ini hari Ahad baru-baru ini dan ia masih menghantui saya.  Mungkinkah kita juga menjadi bebanan pada sesorang dengan cerita dan isu kesusahan kita? Apa yang perlu kita lakukan bila kita pula menyusahkan orang atau menyebabkan kesusahan pada seseorang yang kita sayang?

Share:

Belanjawan 2021 yang bersejarah: Panas tapi menarik ke untuk bidang hartanah dan kewangan?


Belanjawan 2021

Beberapa hari lepas, Belanjawan 2021 pada dasarnya telah diluluskan di Parlimen.
Nampaknya disebabkan majoriti sangat tipis dan disebabkan penularan Covid 19, belanjawan kali ni sangat adventure untuk diluluskan. 
Tak seperti tahun-tahun sebelum ini.

Sebelum ini, apabila pembentangan dilakukan oleh Menteri Kewangan, memang confirm lulus. 
Sebab parti yang memerintah ada majoriti yang selesa untuk luluskan belanjawan.
Tapi kali ini, silap haribulan, ada kemungkinan belanjawan tak diluluskan di Parlimen kerana majoriti sokongan kerajaan Perikatan Nasional sangat nipis. 
Bila ada beberapa orang lompat sokongan atau tak hadir ke sesi undian kelulusan Belanjawan di Parlimen, ia boleh tidak diluluskan.
Dalam erti kata lain, memberi makna kerajaan memerintah hilang majoriti.
Jika ia berlaku, kita terpaksa buat pilihanraya umum semula.

Tapi disebabkan Covid 19, rakyat tak mahu ada pilihanraya.
Cukuplah peningkatan berganda kes Covid 19 sekarang disebabkan pilihanraya Negeri Sabah.
Yang menang pilihanraya dapat gaji berpuluh ribu
Dapat kuasa
Yang kalah pilihanraya pun masih tak susah mana.



Namun kita rakyat?
Kita hilang pekerjaan
Pendapatan perniagaan kita terjejas.
Kita tertekan dari segi kewangan dan emosi.
Dan kita tak boleh travel. Haaa.... tu memang stress hahaha

ok, berbalik pada Belanjawan 2021.
Saya sengaja tak mahu menulis lagi tentang belanjawan ini selepas dia dibentangkan.
Kerana saya menunggu ia diluluskan, selepas melihat kepada keadaan politik kita sekarang.
Namun akhirnya selepas beberapa perubahan, ia akhirnya diluluskan.
Barulah saya boleh tulis di sini untuk rujukan kita dan rujukan saya sendiri.

****

Belanjawan 2021


Seperti biasa, saya hanya berkongsi perkara melibatkan hartanah dan kewangan peribadi sahaja,
Sesuai la dengan skop blog ini begini.



Hartanah


Duty Stamp

1. Pengecualian stamp duty atau duti setem untuk MOT (surat cara pemindahan hakmilik) dan perjanjian pinjaman (loan agreement) untuk pembeli rumah pertama sahaja dan rumah mestilah berharga RM500,000 ke bawah. SPA mestilah bertarikh 1 Januari 2021 – 31 Disember 2025.

2. Pengecualian stamp duty atau duti setem untuk MOT (surat cara pemindahan hakmilik) dan perjanjian pinjaman (loan agreement) kepada kontraktor penyelamat dan pembeli asal rumah terbengkalai dilanjutkan untuk tempoh lagi 5 tahun. SPA mestilah bertarikh 1 Januari 2021 – 31 Disember 2025 bagi projek terbengkalai yang disahkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan .



Perumahan untuk Rakyat. Jumlah peruntukan RM1.2billion

1. 14 ribu unit rumah di bawah Program Perumahan Rakyat. Peruntukan sebanyak RM500 juta.

2. Pembinaan 3,000 unit Rumah Mesra Rakyat oleh SPNB. Peruntukan sebanyak RM315 juta

3. Penyenggaran perumahan berstarata kos rendah atau rumah flat kos rendah dan sederhana rendah, serta bantuan membaikpulih rumah usang atau rosak akibat bencana aam. Peruntukan sebanyak RM125 juta.

4. Program Perumahan Awam Malaysia akan diteruskan dengan peruntukan sebanyak RM310 juta.


Rent-to-Own

1. Kerajaan dengan Kerjasama institusi kewangan terpilih. Melibatkan 5,000 buah rumah PR1MA untuk pembeli rumah pertama sahaja. Ia akan dilaksanakan sehingga tahun 2022 dengan nilai keseluruhan lebih 1 bilion ringgit.





KWSP

1. Pengeluaran wang KWSP sebanyak RM10,000

Pengeluaran wang KWSP melalui program i-Sinar  diperluaskan. Boleh keluarkan RM10,000 dari akaun 1. Melibatkan 8 juta pencarum. Semua yang pendapatan terjejas layak memohon., sama ada hilang pekerjaan atau jika bekerja sendiri, pendapatan  berkurang disebabkan COvid 19. pemohon cuma perlu memohon dalam talian atau hadir di mana-mana pejabat KWSP dengan menunjukkan bukti kehilangan pekerjaan, notis cuti tanpa gaji, potongan gaji, elaun atau bayaran lebihan masa dan pengurangan pendapatan jika bekerja sendiri.

Pemohon cuma perlu memohon dalam talian atau hadir di mana-mana pejabat KWSP dengan menunjukkan bukti kehilangan pekerjaan, notis cuti tanpa gaji, potongan gaji, elaun atau bayaran lebihan masa dan pengurangan pendapatan jika bekerja sendiri.

2. Pengurangan caruman
Bagi pekerja, jumlah caruman KWSP dikurangkan dari 11% ke 9% sahaja berkuatkuasa Januari 2021 untuk tempoh 12 bulan. Maknanya untuk sepanjang 2021 sahaja.




Pelanjutan Sistem Insurans Pekerjaan oleh PERKESO

1. Dalam skim ini, PERKESO membayar Elaun Mencari Pekerjaan kepada pekerja yang hilang pekerjaan. Elaun diberi selama 6 bulan. Bulan pertama terima 80% gaji dan kemudian berkurangan sehingga 30% gaji.

2. Untuk 2021, skim ini dipanjangkan lagi 3 bulan. Bermaknan diberiakan untuk tempoh 9 bulan. Kadar bayarannya adalah 80% untuk bulan pertama, 50% untuk bulan kedua – keenam dan  30% untuk bulan ketujuh, kelapan dan kesembilan.



Cukai Pendapatan untuk yang berpendapatan RM51,000 – RM70,000 setahun

1. Perbelanjaan menghadiri kursus kemahiran oleh badan yang diperakui , boleh tuntut sehingga RM1,000

2. Perbelanjaan untuk vaksin bagi individu, isteri dan anak terhad sehinggga RM1,000

3. Perbelanjaan rawatan perubatan penyakit serius dinaikkan dari RM6,000 ke RM8,000. Skop pelepasan cukai bagi perbelanjaan rawatan perubatan meliputi vaksinasi seperti pneumokokal, influenza dan COVID-19

4. Perbelanjaan untuk full medical check-up dinaikkan dari RM500 ke RM1,000

5. Perbelanjaan keperluan khas dan rawatan ibu bapa dinaikkan dari RM5,000 ke RM8,000 

6. Perbelanjaan gaya hidup untuk broadband, sukan, buku, notebook dinaikkan dari RM2,500 ke RM3,000. Ia juga termasuk bayaran penyertaan pertandingan sukan.

7. had pengecualian cukai pendapatan bagi bayaran pampasan atas kehilangan pekerjaan akan dinaikkan daripada 10 ribu kepada 20 ribu

8. Untuk pemastatutin, kadar cukai pendapatan diturunkan 1 mata peratusan. Akan memanfaatkan seramai 1.4 juta rakyat Malaysia.

9. Pelepasan cukai sebanyak RM3,000 untuk pencarum Skim Persaraan Swasta (PRS)

10. Pelepasan cukai sebanyak RM8,000 untuk SSPN kekal sehingga 2022.




Bantuan Pembayaran Bersasar

1. Bank menawarkan moratorium lanjutan kepada dan pelbagai kaedah bantuan pembayaran pinjaman.  Sebanyak 650 permohonan diterima. Kadar kelulusan tinggi 98%. 


Bantuan Prihatin Rakyat

1. Isi rumah berpendapatan bulanan kurang 2,500 ringgit + seorang anak = bantuan sebanyak RM1,200 ringgit, tapi kalau ada 2 orang anak atau lebih= bantuan  sebanyak RM1,800

2. Bagi isi rumah berpendapatan bulanan RM 2,501 - RM4,000 ringgit + seorang anak = bantuansebanyak RM800, tapi kalau  2 orang anak atau lebih = bantuan sebanyak RM1,200

3. Isi rumah berpendapatan bulanan RM4,001 - RM5,000 + seorang anak = bantuan RM500 ringgit, tapi kalau 2 orang anak = bantuan RM750 ringgit.

4. Individu bujang berpendapatan 2,500 ringgit ke bawah = bantuan RM350 ringgit. Tapi yang tak bestnya, had umur kelayakan individu bujang diturunkan kepada 21 tahun sahaja.  Dulu bawah 40 tahun layak. Maknanya terlalu sikit individu bujang yang layak menerima.







Pengangkutan Awam

1. Pas perjalanan tanpa had My30 yang dijalankan di Lembah Klang akan diteruskan dan diperluaskan ke Pulau Pinang dan bandar Kuantan. Ini membolehkan pengguna menggunakan semua perkhidmatan bas dan rel kendalian Kumpulan Prasarana dengan harga 30 ringgit sebulan sahaja tanpa had.

2. Pas perjalanan bulanan tanpa had RM 5 ringgit akan diperkenalkan untuk pelajar sekolah tahun 1 - tingkatan 6 dan golongan OKU. Pas ini boleh digunakan untuk perkhidmatan tren komuter Lembah Klang, komuter utara, tren antara bandar Kuala Lipis dan Tumpat dan tren Sabah di jajaran Beaufort-Tenom. 

3. Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti akan diperluas secara berfasa ke Johor Bahru, Kuching, Kota Kinabalu dan Kuantan. Sebelum ini ia telah dilaksanakan di Kangar, Seremban, Ipoh dan Kuala Terengganu. Peruntukan sebanyak RM150 juta.

4. Pengecualian cukai jualan untuk pengusaha bas yang membeli bas yang telah siap dilanjutkan lagi sehingga 31 Disember 2022.

****

OK kawan-kawan
Dengan perkembangan Belanjawan 2021 ni, anda rasa industri hartanah akan meriah semula atau sama je?
Kalau tanya saya, saya akan jawab, sama je.
Sebab tak ada yang sangat strong untuk boostkan hartanah.

Share:

9 perkara penting berlaku kerana Covid 19



Salam November 2020 kawan-kawan.

Semalam saya telah mencuba sesuatu yang baru. 

Membuat satu sesi Facebook Live, bercerita tentang satu topik dan menjemput dua kawan untuk berkongsi pengalaman juga. 

Saya jemput:



1. Yan Yahaya, seorang penterjemah dan penulis freelancer


2.  Norsa'adah Ahmad, penulis, penerbit buku dan co-founder Dua Penulis.


Kami bercerita tentang struggle dan kesan akibat pandemik Covid 19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kepada kita semua.

Saya berkongsi kisah saya, Yan ceritakan kisah dia, pengajian PHD dan kesan pada keluarga mereka, manakala Sa'adah bercerita apa yang sebenarnya berlaku kepada kita semua bila Covid 19 melanda.

Saya tertarik dengan point-point dan kesimpulan yang Sa'adah terangkan. Ia betul dan saya setuju. 

Jadi saya cadangkan Sa'adah tulis semula point-point tu di Facebook dia dan blognya. 

Jadi, untuk bacaan semua, saya copy paste dengan kebenaran di sini ya. 

****




Tahun 2020 akan berlalu pergi kurang 40 hari dari sekarang. Begitu pantas masa berlalu. Pelbagai cabaran dan kegetiran yang dihadapi dalam situasi pandemik yang sememangnya tidak dijangka.

Hari-hari yang dilalui tidak berlaku seperti yang dirancangkan. Perniagaan tidak berjalan dengan baik dan laba yang diharapkan tidak diperolehi. Hubungan mesra berubah menjadi hambar atau putus sama sekali. Fikiran bercelaru dan sekaligus tubuh tidak berfungsi sepertinya selalu.

Kekecewaan demi kekecewaan seolah menekan diri ke bawah dan ke bawah sehingga terjelepuk dan terasa sukar untuk bangkit. Adakah tahun 2020 akan berakhir sebegini?

Tapi bukan semua cerita kecewa yang kita dengari. Masih ada kisah bahagia atau kisah mereka menemukan cinta. Malahan ada juga mengakui perhubungan sesama semakin erat sama ada sebagai teman, sahabat atau pasangan.

Sama ada kisah suka atau duka, setiap kita berusaha untuk strive to survive. Tiada kereta terbang di tahun 2020. Tapi virus yang bertebaran tanpa kita dapat melihatnya dengan mata kasar. Masing-masing menggunakan sumber yang ada untuk meneruskan hidup. Memaksa diri mempelajari kemahiran baharu. Mencuba sesuatu yang baharu. Melakukan rutin yang baharu dalam menjalani hidup seharian.

Angan-angan untuk mengembara ke seluruh dunia dengan bebas tidak tercapai. Bukan untuk tahun ini. Namun, apabila keadaan membaik ia boleh dilunaskan

Apakah yang kita pelajari hari ini?

1. Dunia bergerak terlalu pantas sehingga 2019. Datang virus yang tak kelihatan dek pandangan mata, seolah-olah butang ‘pause’ tertekan.

2. Manusia yang sebelum ini berkejar atau mengejar masa, terpaksa pause. Hendak tak hendak, kena menerima keadaan atau norma baharu yang menghadkan pergerakan kita.

3. Sebelum ini kita terlalu sibuk dengan rutin, kerja dan kerjaya, bisnes dan pelbagai lagi tuntutan hidup, sekarang kita perlu mengubah cara hidup.

4. Mungkin ramai merasakan tekanan atau berdepan isu kesihatan mental, tak dapat dinafikan. Tapi, dari satu sudut lain apabila kita terpaksa pause, kita mula dapat melihat apa yang penting atau apa yang lebih penting dalam hidup kita.

5. Ibu bapa yang dulu sibuk keluar pagi, pulang petang, semasa PKP misalnya dapat melihat dengan lebih dekat bagaimana anak-anak mereka belajar. Nakalkah? Bijakkah? Boleh membacakah? Boleh melukis?

6. Kita mula sedar yang kita tak perlu belanjakan wang yang banyak untuk hidup atau hidup sederhana.

7. Namun begitu, kegiatan ekonomi mesti diteruskan. Jadi, golongan yang pendapatannya tidak terjejas masih boleh membantu kitaran ekonomi kekal sihat dengan berbelanja. Bantu sektor atau industri untuk survive.

8. Mulakan rutin yang baharu untuk beradaptasi dengan perubahan.

9. Berkomunikasi dengan orang yang penting dalam hidup kita seperti yang dikongsikan sahabat saya.


****

Untuk menonton rakaman FB live kami ini boleh klik link di sini ya

Episod 1:


Episod 2: 


Episod 3: 


Share:

Cita-cita yang membunuh

 Kita diajar untuk bercita-cita tinggi.

Tapi dalam banyak perkara, kita mungkin gagal kerana cita-cita kita terlalu tinggi.

Satu masa dulu saya banyak membaca mengenai financial freedom. Keluar dari rat race. Bila pendapatan pasif melebihi perbelanjaan. Jadi saya berusaha ke arah itu sejak 2006 ke 2012 melalui pelaburan hartanah. 

Namun sejak 2013, saya dapati beberapa pinjaman rumah menyekat saya dari melakukan perkara lain yang saya mahu. Iaitu mengembara untuk tempoh yang panjang atau berpindah ke negara lain yang lebih tenang bagi diri saya.\




Malah saya juga ada tersilap memilih hartanah yang tak menguntungkan. Mungkin saya seorang blogger hartanah yang belum cukup bijak sebenarnya.

Kemudian, kita diberi naluri, ingin ada seseorang yang kita sayangi sepenuh hati. Ingin berkongsi rasa dan hidup bersama.  Ini juga satu kegagalan saya. 

Pesan Mazlina Berahim semalam, cari orang yang obses dengan kita.  Bukan orang yang kita obses pada dia. Mengapa bekas suami ambil kesempatan dan mengkhianati dia, antaranya kerana Mazlina yang obses dengan bekas suaminya sejak awal bercinta lagi. Mereka bercinta sejak lelaki tu sedang belajar lagi.




Dalam kes saya, memang belum ada orang obses dengan saya. Obses dengan blog propertywaltz.com saya dulu mungkin ada kan. Hahaha....

Saya ada berangan, kan bagus kalau orang yang saya obses dengannya dulu, satu hari nanti melihat saya dan dia merasa rugi. Rugi kerana menolak dan meninggalkan saya. 

Malangnya saya rasa kalau mereka lihat saya sekarang, mereka akan rasa mereka buat keputusan yang betul. Aduh.. Mereka lebih bahagia dan berjaya dari saya. Saya masih dipijak angan-angan lagi. 

Tamakkah kita bila mengejar cita-cita?

Cita-cita dan angan-angan ada banyak waktu membawa kita terbang tinggi ke langit. Namun ada banyak ketika juga ia membuatkan kita tersungkur di tepi lorong.

Saya harap buku yang akan Kasi Terbit terbitkan mengenai bagaimana Mazlina mengatasi kemurungan dan kesedihan akan dapat membantu saya dan bakal pembaca nanti.

Share:

Gagal dapatkan pinjaman Bank. Ini risiko pelabur emas yang banyak gadai di Ar-Rahnu.

Semalam saya pergi ke bandar Kajang.
Saya ada urusan di CIMB dan kemudian mencari cawangan Western Union yang dah buka.
Ada orang Singapura nak beli buku travelog yang saya jual, tapi buat bayaran melalui Western Union.
Jadi saya kena pergi ambik duit tu di mana-mana cawangan Western Union juga.
Masalahnya semua cawangan Western Union di Kajang belum beroperasi lagi.
Ada satu cawangan tu katanya 8 hb Mei nanti baru bukak.
Jadi saya kena datang semula la 8 hb nanti.

Namun bukan kisah Western Union ni yang penting.
Semasa di bandar Kajang, saya nampak jalan utama dalam bandar dan jem semula.
Yelah.. mulai semalam, dah bermula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.
Jadi dah banyak kedai dibuka. Tu yang jem semula.

Antara kedai yang dah dibuka adalah kedai-kedai pajak gadai.
Ya, saya memang perasan ramai orang beratur di sebuah kedai pajak gadai tak jauh dari Maybank Kajang.
Siap ada yang bergaduh dengan orang yang jaga pintu kedai.
Entah apa yang mereka pertikaikan agaknya.

Balik rumah dan bukak Facebook, rupanya bukan saya je perasan situasi ni.
Beberapa kawan lain pun nampak, ramai orang beratur panjang untuk masuk ke kedai pajak gadai,
Mungkin ada yang terdesak dan terpaksa menggadaikan barang kemas mereka.
Mungkin juga ada  barang kemas yang tarikh akhir tebusan dah tiba semasa PKP berlangsung.
Jadi bila kedai pajak gadai dibuka, mereka perlu segera ke kedai.
Buat tuntutan dan tebus semula atau apa juga yang patut.

Saya tau la sikit-sikit sebab ada pengalaman tolong mak saya bawak rantai ke kedai pajak gadai di Temerloh semasa saya bersekolah dulu.

Namun sebenarnya bukan hanya orang yang terdesak perlukan duit yang nak pajakkan barang kemas ni.
Orang yang buat pelaburan emas pun, biasanya letak emas mereka di Ar-Rahnu untuk rolling modal.
Salah satu teknik pelaburan emas yang biasa digunakan.

Namun rupanya kalau banyak sangat letak emas di Ar-Rahnu, ada kesan pada CCRIS dan pada kelayakan pinjaman bank anda.
Saya pun baru tahu ni.. bila terbaca perkongsian kawan saya, Firdaus Pay di Facebooknya.
Meh saya kongsikan di sini untuk kawan-kawan baca sendiri ya.



******

Risiko Pelaburan Emas Jika Banyak Gadai di Ar-Rahnu, Permohonan Pinjaman Bank Boleh Ditolak.

Foto tular


Izin Pay share sekali lagi tentang risiko pelaburan emas rentetan posting sangat bermanfaat dan hangat dibincangkan dari FB Dr Azizul Azli Ahmad.

Pernah satu ketika dulu, zaman orang banyak melabur emas fizikal. Beli banyak sangat. Lalu beliau gadai di ar-rahnu untuk buat pusingan modal.

Pay pernah melihat seorang rakan yang mempunyai pendapatan yang tinggi dan stabil, kerja sebagai pensyarah berjawatan Professor Madya di sebuah universiti tempatan.

Permohonan pinjaman bank beliau telah ditolak oleh pihak bank kerana di dalam CCRIS Report beliau terlalu banyak "Pawn Broking".

Bank melihat beliau sebagai seorang yang mempunyai masalah kewangan walaupun pada hakikatnya, beliau tidak mempunyai masalah kewangan dan hanya ingin "menyimpan" emas yang beliau miliki dari pelaburan emas.


Saya tak cakap pelaburan emas tu tak bagus ya, saya cuma berkongsi risiko Pawn Broking sahaja.

\

Apa kesan Pawn Broking (pajak gadai) terhadap permohonan pinjaman bank?

Pawn Broking atau dalam bahasa melayu dipanggil pajak gadai.

Pawn Broking ini agak digemari oleh masyarakat kita di kala kesempitan wang, kerana pawn broking boleh memberi kita wang dengan cepat dan mudah.

Untuk makluman, Pawn Broking yang dipajak di institusi kewangan atau bank sahaja akan masuk ke dalam CCRIS report buat masa ini.

Tapi sedarkah kita, Pawn Broking ini mempunyai risikonya yang tersendiri.

Sedarkah anda bahawa Pawn Broking yang muncul CCRIS report anda mempunyai "tanggapan buruk" dari pihak bank?

Sebenarnya, bank melihat Pawn Broking (jika terlalu banyak) di dalam CCRIS report sebagai pemohon yang "mempunyai masalah kewangan atau kesempitan wang".

Ingat tak dulu di kala pelaburan emas menjadi "trending" suatu masa dahulu?

Pelabur tersebut suka simpan emas mereka secara pajakan "Pawn Broking".

Amalan ini sebenarnya amat tidak digalakkan kerana akan menjejaskan permohonan pinjaman kita.



Selain itu, Debt Service Ratio (DSR) untuk Pawn Broking juga akan meningkat secara mendadak kerana bank biasanya akan mengira komitment Pawn Broking hanya untuk tempoh 6 bulan sahaja (Maksudnya jumlah pajakan dibahagikan 6 bulan - RMXXXX/6).

Bayangkan jika jumlah pajakan Pawn Broking kita banyak? Apa kesannya? 😅

So, beringatlah sebelum "menyimpan" emas anda secara "Pawn Broking" kerana ia mempunyai risiko yang agak tinggi untuk bakal pemohon pinjaman bank.



*******

Ok kawan-kawan, kalau nak baca banyak lagi perkongsian menarik dari Firdaus Pay melibatkan kewangan dan hartanah, boleh follow dia di Facebook ya. Klik DI SINI untuk akses Facebooknya.

Semoga perkongsian Firdaus Pay ini memberi tambahan pengetahuan kepada kita semua
Share:

Bagaimana pos murah dengan pelbagai courier siap datang collect di rumah?

Kita dah masuk fasa ke3 PKP kan.
Nampaknya banyak benda yang kita perlukan kita perlu beli online.
Dalam kes saya, saya ada rumah penerbitan buku. Kasi Terbit namanya.
Kasi Terbit menerbitkan buku dan memasarkan buku-buku lain yang genre sama dengan buku kami, terutama buku yang penulisnya terbit sendiri.



Semasa PKP ni, jualan online merupakan satu keperluan.
Namun, ada yang susah nak pergi pos barang kan.
Kos pos pula bukan murah.

Jadi, untuk peniaga online seperti saya, boleh pertimbangkan pakai servis website Easyparcel.
Ia sebenarnya satu service pengeposan kontrak secara prepaid.



Daftar akaun di website Easyparcel, kemudian top up kredit melalui kad debit, kad kredit atau online banking untuk amaun yang kita perlukan.
Kemudian boleh la kita key in pengeposan.


Masa top up pulak, boleh pilih nak top up berapa.
Serendah RM100, boleh dapat harga pos RM5 - RM6.50 untuk 5 kg ke Semenanjung bawah kalau guna Pgeon Delivery atau Poslaju.
Murah kan...

Tapi kalau top up RM2k, kita boleh dapat diskaun lagi untuk pengeposan lebih 5 kg atau pengeposan lebih 2kg bagi courier selain Pgeon Delivery dan Poslaju.
Untuk top up sebanyak RM500 ke atas, kita boleh dapat free plastik flyer atau plastik pembungkusan tu. Jimat juga kos kita kan.

Tapi kalau bajet sikit atau tak la banyak sangat nak pos, topup RM100 dah cukup la kan.
Cuma tak ada free plastik flyer je la.

Kemudian kita kena masukkan poskod kita, poskod penerima dan berat bungkusan.
Sistem akan kira dan beri cadangan pelbagai courier yang ada di bawah Easyparcel.
Jadi kita boleh pilih la yang mana kita mau.


hasilnya:



Begitu juga kalau lebih 2 kg.
Tengok ni saya try kalau berat 4.99 kg.



Easyparcel boleh juga digunakan untuk pos ke luar negara.
Kita hanya perlu masukkan details kad kredit atau kad debit dalam sistem ni.

Macamana yang anda tengok kat senarai harga dan senarai courier tu, ada courier yang boleh datang collect di rumah. Ada yang satu parcel pun mereka boleh datang collect, ada yang buat syarat mesti at least 4 parcel.
Tengok kesesuaian ya.
Cuma sepanjang PKP ni, sebab dah lambakan barang untuk dipos, Poslaju nampak dah kurang atau tak buat collection di rumah.
Pgeon Delivery masih ada walaupun ada hari yang mereka jem sangat sampai tak sempat datang collect.
Tapi kalau semalam dah terlepas tak sempat datang collect, hari ni biasanya mereka mesti datang.

Kalau tidak, kita pilih sahaja kita yang dropkan parcel tu ke mereka.
Boleh pilih pusat poslaju terdekat atau pejabat pos terdekat kalau pilih Poslaju.
Cuma kalau ke Pusat Poslaju, kita kena pergi kaunter pengeposan kontrak. Kaunter yang berbeza dengan pengeposan biasa.

Kalau pilih Nationwide atau SkyNet pun sama, boleh terus drop kat cawangan mereka.



Jadi kawan-kawan yang berniaga online, boleh pertimbangkan guna Easyparcel ya.
Lebih murah, lebih mudah.
Tak payah tulis tangan kat kertas slip poslaju sampai tangan lenguh. Just copy paste je dari senarai pembeli dalam email, whatsapp atau komputer anda.

Klik DI SINI untuk mendaftar akaun Easyparcel anda.
Share:

Pakej Prihatin PKS: semua peniaga dan owner hartanah komersial wajib baca

Semalam Perdana Menteri telah mengumumkan Langkah Tambahan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat atau Prihatin Tambahan.



Sebelum ini, stimulus yang diberikan oleh kerajaan sangat tidak cukup membantu PKS dan membantu PKS mengekalkan pekerjaan.
Ia lebih kepada memberi ikan kepada rakyat.
Jadi atas maklumbalas yang kerajaan terima dari persatuan dan dewan perniagaan, kerajaan nampak yang ia tak cukup untuk memberi kayu pancing kepad rakyat.
Ikan boleh habis dalam satu hari.
Tapi bantuan kayu pancing dan penjagaan sungai, tasik dan laut sebagai sumber ikan sebenarnya yang lebih memberi jaminan.
PKS adalah antara sumber ikan itu.

Jadi, berdasarkan pengumuman semalam, inilah intipati pakej Prihatin Tambahan tersebut.




1) Subsidi upah untuk pekerja tempatan yang bergaji RM4,000 ke bawah. 

- bagi syarikat yang mempunyai pekerja sehingga 75 orang, subsidi gaji sebanyak RM1,200 sebulan untuk setiap pekerja.
- bagi syarikat yang mempunyai pekerja 76 - 200 orang, subsidi gaji sebanyak RM800 sebulan untuk setiap pekerja
- bagi syarikat yang mempunyai lebih 200 orang pekerja, subsidi gaji sebanyak RM600 sebulan untuk setiap pekerja, tapi terhad kepada 200 orang pekerja sahaja.

Syarat subsidi gaji
1. Subsidi untuk 3 bulan sahaja
2. Majikan telah mendaftar dengan SSM atau pihak berkuasa tempatan sebelum 1 Januari 2020
3. Telah mendaftar dengan PERKESO.
4. Wajib mengekalkan pekerja selama sekurang-kurangnya 6 bulan, termasuk 3 bulan tempoh yang ada subsidi ni.

Jadi, kalau pekerja dua tiga orang tapi tak ada perkeso tu, maknanya tak layak memohon subsidi ya.
Jumlah keseluruhan RM13.8 billion, selepas ditambah lagi RM7.9 billion.



2. Geran Khas Prihatin berjumlah RM2.1 billion

Pengusaha PKS mikro akan menerima geran khas sebanyak RM3,000 untuk 700,000 PKS yang layak.

Syarat:
1. Pengusaha PKS Mikro yang sudah mendaftar dengan SSM dan
2. Telah mendaftar dengan LHDN.

SSM dan LHDN akan memberi senarai PKS Mikro yang layak ini. Saya pasti ia akan berdasarkan rekod pendapatan perniagaan yang kita telah declare sebelum ini.

Ha... penting kan declare LHDN ni. Declare tak semestinya kena bayar cukai banyak. Mungkin sebenarnya tak perlu bayar pun kalau kita tahu kat mana nak tolak dan kat mana nak manipulate secara sah. Boleh KLIK DI SINI untuk tahu teknik dan tips declare dan kurangkan cukai secara sah.





3. Pemansuhan kadar faedah dari 2% ke 0% untuk skim pinjaman kredit Mikro Bank Simpanan Nasional. Jumlah kadar faedah yang terlibat sebanyak RM500 juta.


4. Skim Pinjaman Mudah oleh Tekun Nasional dengan kadar faedah 0%. Amaun maksima pinjaman adalah RM10,000 sahaja.


5. Pengecualian sewa atau diskaun sewa untuk peniaga runcit PKS yang menyewa di premis perniagaan milik syarikat berkaitan kerajaan (GLC). 

Ni hanya untuk yang sewa unit kedai MARA, Petronas, PNB, UDA, Plus dan seumpamanya ssahaja ya. Yang menyewa dengan individu atau syarikat swasta, tak terpakai. Sewa tetap kena bayar.


6. Untuk syarikat yang menggunakan pekerja asing, pengurangan levi pekerja asing sebanyak 25%. 

Syarat: 
Permit pekerja tersebut tamat pada 1 April - 31 Disember 2020 sahaja.



7. Syarikat boleh berbincang dengan pekerja mengenai terma pekerjaan sama ada terpaksa membuat pemotongan gaji atau memberi cuti tanpa gaji kepada pekerja untuk tempoh PKP ini.

Yelah.. kalau perniagaan kedai buku, contohnya. Ia tak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh PKP. Dah la kedai buku banyak tutup sebelum ni disebabkan keadaan pasaran. Kalau dah sebulan tutup kedai, mungkin banyak yang tak mampu bayar gaji pekerja dah sebab zero income sepanjang PKP.
Cuma, harap rundingan ini win-win situation untuk kedua-dua pihak majikan dan pekerja.


8. Morotarium selama 30 hari oleh SSM kepada syarikat memgemukakan dokumen berkanun. Tempoh 30 hari dikira dari tarikh akhir PKP.


9. Tempoh menyerah simpan penyata kewangan syarikat dilanjutkan selama 3 bulan dari tarikh PKP.

Syarat: 
- Tahun kewangan syarikat berakhir pada 30 September hingga 31 Disember 2020.
- Penanguhan tidak automatik. Kena mohon dulu kepada SSM dan tidak akan dikenakan fi lewat penghantaran.



10. Pemilik bangunan atau ruang perniagaan yang memberi diskaun sewa kepada penyewa mereka akan menerima potongan cukai tambahan dengan amaun yang sama dengan amaun diskaun.

Syarat:
- Penyewa adalah PKS
- Diskaun sewa ini adalah untuk bulan April - Jun 2020.



11. Permohonan pinjaman untuk PKS yang dinyatakan dalam Pakej Rangsangan Prihatin ada disediakan dilakukan di https://imsme.com.my
Postal ini dikendalikan oleh Credit Guarantee Corporation (CGC) dengan kerjasama Bank Negara Malaysia.
Amaun pinjaman yang boleh dipohon bermula dari RM1,000 ke RM1 juta.
Share:

Disclaimer

This blog is for information and experience sharing. The authors are not responsible for any loss or damages caused by the manipulation and application of information obtained from the blog.

Highlight

Pengeluaran RM500 KWSP sempena serangan Covid 19. Apa kesannya?

Masih lagi dalam Arahan Kawalan Pergerakan. Semalam Perdana Menteri kita membuat pengumuman, rakyat Malaysia boleh keluarkan wang dari aka...

Popular Posts

Translate Blog

Blog Archive

Arkib Blog