• Apartment di Cyberjaya untuk disewa

    Untuk mereka yang bekerja di Cyberjaya dan Putrajaya, kami ada apartment-apartment yang cantik dengan harga terbaik di Cyberjaya. Hubungi 012-3547636 untuk pertanyaan.

  • Buku-buku Terbitan Kasi Terbit

    Kasi Terbit dah ada banyak koleksi buku-buku yang panas dan bakal memberi manfaat kepada anda. Hubungi 0123547636 untuk mendapatkannya.

  • Buku Hartanah Panas

    Beli 5 buku, kos posnya percuma. Tak kisahlah pos ke Semenanjung atau pos ke Sabah dan Sarawak. Whatsapp 0123547636 dengan keyword 'buku property' ya....

  • Nak jual, beli atau sewakan rumah?

    Saya sedia membantu jika hartanah anda di Lembah Klang atau Pahang. Hubungi saya 0123547636

  • Kasi Terbit dengan koleksi buku panas

    Kita ada koleksi buku-buku hartanah, buku travel dan buku perubatan. Lebih unfo akan ada di sini ya.

5 filem yang buat saya depression dan terganggu berhari-hari selepas menonton

Dua hari lepas, saya janji nak kongsi 5 movie yang buat saya terganggu berhari-hari selepas menontonnya. Tapi semalam saya agak kalut, kemudian saya buat larian 21km untuk klscm virtual run 2020, buat saya jadi tak sempat.

Ok, ini 5 filem yang saya tengok yang buat rasa depressing dan mengganggu saya selepas beberapa hari menonton.



1. Hachiko.

Kisah benar ni, memang boleh buat kita menangis dua tiga hari selepas menontonnya..saya dah beli DVD filem ni dah lama. Tapi saya tak ada keberanian menontonnya sehinggalah tahun 2018 kot. Sedih tu dah tentu bila lihat anjing bernama Hachi ni setia menunggu tuannya balik dari kerja di stesen keretapi setiap hari. Sedangkan tuannya dah mati ketika di pejabat. Tu sebab tak dapat balik naik keretapi macam biasa. 

Yang paling mengganggu saya adalah, kenapa tak ada sesiapa tunjukkan mayat tuannya kepada Hachi? Atau sekurang-kurangnya bawak dia semasa upacara perkebumian? Biar Hachi tau.

Arhh.. Ini kisah benar. Mengingati pun buat saya sedih dan pilu.



2. Marriage Story

Saya percaya filem ni patut menang oscar..bukan parasite. Ok, tapi saya bukan juri.

Filem ni menunjukkan betapa fragile satu perhubungan tu. Dah berkahwin, kelihatan gembira. Ada seorang anak. Ada kerjaya. Tiada sesiapa ada orang ketiga. Tetapi isterinya tiba-tiba mahu berpisah.

Kita ingat perkara-perkara yang dianggap remeh tu, bila dibincang dan pasangan tak setuju, ia habis begitu sahaja. Tapi rupanya tidak. Sedih juga lihat suami dia. Tapi dia buat saya menung, perempuan boleh nekad begitu bila dah tak mau.




3. Silenced, filem Korea.

Filem ni juga kisah benar. Bagaimana watak utama seorang guru membawa dan membongkar kisah penderaan seksual oleh sesetengah guru berpengaruh ke atas pelajar-pelajar pekak di situ. Kejahatan manusia, kezaliman dan bagaimana mereka manipulate undang-undang hingga terlepas buat saya geram dan marah. Adakah dunia ini hanya untuk memuaskan nafsu dan menggembirakan hati lelaki zalim sahaja?  Soalan ini yang mengganggu fikiran saya berhari-hari.

Yang menggeramkan kerana endingnya bukan baik. Bukan akhirnya pesalah menerima hukuman. Tidak. Kalau begitu, kita tersenyum riang. Tapi endingnya mereka bebas selepas melakukan penderaan dan pencerobohan seksual dan memberi trauma kepada pelajar-pelajar itu. Sakit hati bila teringat.



4. Aashiqui 2, filem Hindi.

Filem ini bukan tentang salah seorang pasangan beralih hati macam Marriage Story tadi. Kedua-dua pasangan sangat utuh hatinya. Si kekasih lelaki bernama Rahul, seorang penyanyi terkenal. Dia membawa kekasihnya, Arohi, yang berbakat besar, masuk ke dalam industri. Dia percaya pada bakat Arohi dan melatihnya. Dia memang seorang yang selalu minum arak. 

Arohi semakin popular. Rahul pula semakin alcoholic hingga menyebabkan dia ada masalah disiplin. Dia hilang populariti dan hilang banyak job. Akhirnya dia depress dan semakin alcoholic. 

Arohi cuba membantu kekasihnya, walaupun sibuk dengan jadual sebagai penyanyi terkenal. Rahul pula merasakan dirinya sebagai bebanan pada Arohi, lalu akhirnya membunuh diri. 

Sampai hari ni saya amat meminati lagu-lagu soundtrack filem ni kerana melodinya yang sangat merdu dan lirik yang sangat deep. Terutama lagu Sun Raha Hu. Lagu mengenai mencari seorang yang benar-benar mendengar.

Filem ini sebenarnya remake filem Aashique yang pertama yang ditayangkan pada tahun 90an. Namun jalan ceritanya hampir sama dengan A Star is Born.




5. A Star is Born

Jalan cerita hampir sama dengan Aashiqui 2 namun ia sebenarnya remake filem tajuk yang sama yang ditayangkan pada tahun 1937. 

Jackson, seorang penyanyi rock terkenal berkenalan dengan Ally, seorang yang bercita-cita mahu menjadi penyanyi profesional. Jackson dan Ally berkenalan dan Ally berkongsi satu lagu yang dia cipta. Dalam satu persembahan pentas, Jackson menyanyikan lagu Shallow yang Ally tulis itu dan mengajak Ally untuk menyanyi bersama di atas pentas. Selepas itu orang mula nampak Ally. Namun Jackson sebenarnya ada masalah alcoholic dan masalah kesihatan pendengaran.

Jackson kemudian membawa Ally menyanyi bersama dalam tour dia. Ally kemudian menjadi penyanyi terkenal sehingga memenangi Grammy Award. Pada masa tu Jackson dan Ally dah berkahwin. Sedihnya, Jackson  mabuk ketika Ally menerima anugerah. Jackson susah hati kerana dia dah hilang job dan hilang populariti sedangkan Ally sedang meningkat naik.

Semasa Ally di atas pentas menerima anugerah, Jackson dalam keadaan mabuk naik sama. Di atas pentas, semasa sedang berucap, Jackson terkencing dalam seluar. Ini menjadi berita hangat.

Ally sepatutnya ada tour concert. Dia memutuskan untuk membawa Jackson menyanyi bersama, macam suatu masa dulu Jackson bawak dia. Tapi dalam diam, pengurus Ally berjumpa Jackson dan memberi kata-kata pedas kepadanya. Jackson dikatakan menjadi beban dalam hidup Ally.

Akhirnya Jackson minum pil tidur yang banyak dan menggantung diri. 

Bagaimana seorang yang bermasalah alcoholic dan depression boleh meninggalkan isteri yang amat sayang padanya? Jika ia menjadi beban, adakah dengan meninggalkannya akan membuat isterinya boleh menyanyi tanpa terganggu dengan masalah diri dia lagi? Adakah betul walaupun saling sayang, sesebuah hubungan boleh jadi sebegitu racun kepada seorang lain sehingga selayaknya salah seorang putus asa dan pergi?

Saya baru tonton filem ini hari Ahad baru-baru ini dan ia masih menghantui saya.  Mungkinkah kita juga menjadi bebanan pada sesorang dengan cerita dan isu kesusahan kita? Apa yang perlu kita lakukan bila kita pula menyusahkan orang atau menyebabkan kesusahan pada seseorang yang kita sayang?

Share:

Belanjawan 2021 yang bersejarah: Panas tapi menarik ke untuk bidang hartanah dan kewangan?


Belanjawan 2021

Beberapa hari lepas, Belanjawan 2021 pada dasarnya telah diluluskan di Parlimen.
Nampaknya disebabkan majoriti sangat tipis dan disebabkan penularan Covid 19, belanjawan kali ni sangat adventure untuk diluluskan. 
Tak seperti tahun-tahun sebelum ini.

Sebelum ini, apabila pembentangan dilakukan oleh Menteri Kewangan, memang confirm lulus. 
Sebab parti yang memerintah ada majoriti yang selesa untuk luluskan belanjawan.
Tapi kali ini, silap haribulan, ada kemungkinan belanjawan tak diluluskan di Parlimen kerana majoriti sokongan kerajaan Perikatan Nasional sangat nipis. 
Bila ada beberapa orang lompat sokongan atau tak hadir ke sesi undian kelulusan Belanjawan di Parlimen, ia boleh tidak diluluskan.
Dalam erti kata lain, memberi makna kerajaan memerintah hilang majoriti.
Jika ia berlaku, kita terpaksa buat pilihanraya umum semula.

Tapi disebabkan Covid 19, rakyat tak mahu ada pilihanraya.
Cukuplah peningkatan berganda kes Covid 19 sekarang disebabkan pilihanraya Negeri Sabah.
Yang menang pilihanraya dapat gaji berpuluh ribu
Dapat kuasa
Yang kalah pilihanraya pun masih tak susah mana.



Namun kita rakyat?
Kita hilang pekerjaan
Pendapatan perniagaan kita terjejas.
Kita tertekan dari segi kewangan dan emosi.
Dan kita tak boleh travel. Haaa.... tu memang stress hahaha

ok, berbalik pada Belanjawan 2021.
Saya sengaja tak mahu menulis lagi tentang belanjawan ini selepas dia dibentangkan.
Kerana saya menunggu ia diluluskan, selepas melihat kepada keadaan politik kita sekarang.
Namun akhirnya selepas beberapa perubahan, ia akhirnya diluluskan.
Barulah saya boleh tulis di sini untuk rujukan kita dan rujukan saya sendiri.

****

Belanjawan 2021


Seperti biasa, saya hanya berkongsi perkara melibatkan hartanah dan kewangan peribadi sahaja,
Sesuai la dengan skop blog ini begini.



Hartanah


Duty Stamp

1. Pengecualian stamp duty atau duti setem untuk MOT (surat cara pemindahan hakmilik) dan perjanjian pinjaman (loan agreement) untuk pembeli rumah pertama sahaja dan rumah mestilah berharga RM500,000 ke bawah. SPA mestilah bertarikh 1 Januari 2021 – 31 Disember 2025.

2. Pengecualian stamp duty atau duti setem untuk MOT (surat cara pemindahan hakmilik) dan perjanjian pinjaman (loan agreement) kepada kontraktor penyelamat dan pembeli asal rumah terbengkalai dilanjutkan untuk tempoh lagi 5 tahun. SPA mestilah bertarikh 1 Januari 2021 – 31 Disember 2025 bagi projek terbengkalai yang disahkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan .



Perumahan untuk Rakyat. Jumlah peruntukan RM1.2billion

1. 14 ribu unit rumah di bawah Program Perumahan Rakyat. Peruntukan sebanyak RM500 juta.

2. Pembinaan 3,000 unit Rumah Mesra Rakyat oleh SPNB. Peruntukan sebanyak RM315 juta

3. Penyenggaran perumahan berstarata kos rendah atau rumah flat kos rendah dan sederhana rendah, serta bantuan membaikpulih rumah usang atau rosak akibat bencana aam. Peruntukan sebanyak RM125 juta.

4. Program Perumahan Awam Malaysia akan diteruskan dengan peruntukan sebanyak RM310 juta.


Rent-to-Own

1. Kerajaan dengan Kerjasama institusi kewangan terpilih. Melibatkan 5,000 buah rumah PR1MA untuk pembeli rumah pertama sahaja. Ia akan dilaksanakan sehingga tahun 2022 dengan nilai keseluruhan lebih 1 bilion ringgit.





KWSP

1. Pengeluaran wang KWSP sebanyak RM10,000

Pengeluaran wang KWSP melalui program i-Sinar  diperluaskan. Boleh keluarkan RM10,000 dari akaun 1. Melibatkan 8 juta pencarum. Semua yang pendapatan terjejas layak memohon., sama ada hilang pekerjaan atau jika bekerja sendiri, pendapatan  berkurang disebabkan COvid 19. pemohon cuma perlu memohon dalam talian atau hadir di mana-mana pejabat KWSP dengan menunjukkan bukti kehilangan pekerjaan, notis cuti tanpa gaji, potongan gaji, elaun atau bayaran lebihan masa dan pengurangan pendapatan jika bekerja sendiri.

Pemohon cuma perlu memohon dalam talian atau hadir di mana-mana pejabat KWSP dengan menunjukkan bukti kehilangan pekerjaan, notis cuti tanpa gaji, potongan gaji, elaun atau bayaran lebihan masa dan pengurangan pendapatan jika bekerja sendiri.

2. Pengurangan caruman
Bagi pekerja, jumlah caruman KWSP dikurangkan dari 11% ke 9% sahaja berkuatkuasa Januari 2021 untuk tempoh 12 bulan. Maknanya untuk sepanjang 2021 sahaja.




Pelanjutan Sistem Insurans Pekerjaan oleh PERKESO

1. Dalam skim ini, PERKESO membayar Elaun Mencari Pekerjaan kepada pekerja yang hilang pekerjaan. Elaun diberi selama 6 bulan. Bulan pertama terima 80% gaji dan kemudian berkurangan sehingga 30% gaji.

2. Untuk 2021, skim ini dipanjangkan lagi 3 bulan. Bermaknan diberiakan untuk tempoh 9 bulan. Kadar bayarannya adalah 80% untuk bulan pertama, 50% untuk bulan kedua – keenam dan  30% untuk bulan ketujuh, kelapan dan kesembilan.



Cukai Pendapatan untuk yang berpendapatan RM51,000 – RM70,000 setahun

1. Perbelanjaan menghadiri kursus kemahiran oleh badan yang diperakui , boleh tuntut sehingga RM1,000

2. Perbelanjaan untuk vaksin bagi individu, isteri dan anak terhad sehinggga RM1,000

3. Perbelanjaan rawatan perubatan penyakit serius dinaikkan dari RM6,000 ke RM8,000. Skop pelepasan cukai bagi perbelanjaan rawatan perubatan meliputi vaksinasi seperti pneumokokal, influenza dan COVID-19

4. Perbelanjaan untuk full medical check-up dinaikkan dari RM500 ke RM1,000

5. Perbelanjaan keperluan khas dan rawatan ibu bapa dinaikkan dari RM5,000 ke RM8,000 

6. Perbelanjaan gaya hidup untuk broadband, sukan, buku, notebook dinaikkan dari RM2,500 ke RM3,000. Ia juga termasuk bayaran penyertaan pertandingan sukan.

7. had pengecualian cukai pendapatan bagi bayaran pampasan atas kehilangan pekerjaan akan dinaikkan daripada 10 ribu kepada 20 ribu

8. Untuk pemastatutin, kadar cukai pendapatan diturunkan 1 mata peratusan. Akan memanfaatkan seramai 1.4 juta rakyat Malaysia.

9. Pelepasan cukai sebanyak RM3,000 untuk pencarum Skim Persaraan Swasta (PRS)

10. Pelepasan cukai sebanyak RM8,000 untuk SSPN kekal sehingga 2022.




Bantuan Pembayaran Bersasar

1. Bank menawarkan moratorium lanjutan kepada dan pelbagai kaedah bantuan pembayaran pinjaman.  Sebanyak 650 permohonan diterima. Kadar kelulusan tinggi 98%. 


Bantuan Prihatin Rakyat

1. Isi rumah berpendapatan bulanan kurang 2,500 ringgit + seorang anak = bantuan sebanyak RM1,200 ringgit, tapi kalau ada 2 orang anak atau lebih= bantuan  sebanyak RM1,800

2. Bagi isi rumah berpendapatan bulanan RM 2,501 - RM4,000 ringgit + seorang anak = bantuansebanyak RM800, tapi kalau  2 orang anak atau lebih = bantuan sebanyak RM1,200

3. Isi rumah berpendapatan bulanan RM4,001 - RM5,000 + seorang anak = bantuan RM500 ringgit, tapi kalau 2 orang anak = bantuan RM750 ringgit.

4. Individu bujang berpendapatan 2,500 ringgit ke bawah = bantuan RM350 ringgit. Tapi yang tak bestnya, had umur kelayakan individu bujang diturunkan kepada 21 tahun sahaja.  Dulu bawah 40 tahun layak. Maknanya terlalu sikit individu bujang yang layak menerima.







Pengangkutan Awam

1. Pas perjalanan tanpa had My30 yang dijalankan di Lembah Klang akan diteruskan dan diperluaskan ke Pulau Pinang dan bandar Kuantan. Ini membolehkan pengguna menggunakan semua perkhidmatan bas dan rel kendalian Kumpulan Prasarana dengan harga 30 ringgit sebulan sahaja tanpa had.

2. Pas perjalanan bulanan tanpa had RM 5 ringgit akan diperkenalkan untuk pelajar sekolah tahun 1 - tingkatan 6 dan golongan OKU. Pas ini boleh digunakan untuk perkhidmatan tren komuter Lembah Klang, komuter utara, tren antara bandar Kuala Lipis dan Tumpat dan tren Sabah di jajaran Beaufort-Tenom. 

3. Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti akan diperluas secara berfasa ke Johor Bahru, Kuching, Kota Kinabalu dan Kuantan. Sebelum ini ia telah dilaksanakan di Kangar, Seremban, Ipoh dan Kuala Terengganu. Peruntukan sebanyak RM150 juta.

4. Pengecualian cukai jualan untuk pengusaha bas yang membeli bas yang telah siap dilanjutkan lagi sehingga 31 Disember 2022.

****

OK kawan-kawan
Dengan perkembangan Belanjawan 2021 ni, anda rasa industri hartanah akan meriah semula atau sama je?
Kalau tanya saya, saya akan jawab, sama je.
Sebab tak ada yang sangat strong untuk boostkan hartanah.

Share:

9 perkara penting berlaku kerana Covid 19



Salam November 2020 kawan-kawan.

Semalam saya telah mencuba sesuatu yang baru. 

Membuat satu sesi Facebook Live, bercerita tentang satu topik dan menjemput dua kawan untuk berkongsi pengalaman juga. 

Saya jemput:



1. Yan Yahaya, seorang penterjemah dan penulis freelancer


2.  Norsa'adah Ahmad, penulis, penerbit buku dan co-founder Dua Penulis.


Kami bercerita tentang struggle dan kesan akibat pandemik Covid 19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kepada kita semua.

Saya berkongsi kisah saya, Yan ceritakan kisah dia, pengajian PHD dan kesan pada keluarga mereka, manakala Sa'adah bercerita apa yang sebenarnya berlaku kepada kita semua bila Covid 19 melanda.

Saya tertarik dengan point-point dan kesimpulan yang Sa'adah terangkan. Ia betul dan saya setuju. 

Jadi saya cadangkan Sa'adah tulis semula point-point tu di Facebook dia dan blognya. 

Jadi, untuk bacaan semua, saya copy paste dengan kebenaran di sini ya. 

****




Tahun 2020 akan berlalu pergi kurang 40 hari dari sekarang. Begitu pantas masa berlalu. Pelbagai cabaran dan kegetiran yang dihadapi dalam situasi pandemik yang sememangnya tidak dijangka.

Hari-hari yang dilalui tidak berlaku seperti yang dirancangkan. Perniagaan tidak berjalan dengan baik dan laba yang diharapkan tidak diperolehi. Hubungan mesra berubah menjadi hambar atau putus sama sekali. Fikiran bercelaru dan sekaligus tubuh tidak berfungsi sepertinya selalu.

Kekecewaan demi kekecewaan seolah menekan diri ke bawah dan ke bawah sehingga terjelepuk dan terasa sukar untuk bangkit. Adakah tahun 2020 akan berakhir sebegini?

Tapi bukan semua cerita kecewa yang kita dengari. Masih ada kisah bahagia atau kisah mereka menemukan cinta. Malahan ada juga mengakui perhubungan sesama semakin erat sama ada sebagai teman, sahabat atau pasangan.

Sama ada kisah suka atau duka, setiap kita berusaha untuk strive to survive. Tiada kereta terbang di tahun 2020. Tapi virus yang bertebaran tanpa kita dapat melihatnya dengan mata kasar. Masing-masing menggunakan sumber yang ada untuk meneruskan hidup. Memaksa diri mempelajari kemahiran baharu. Mencuba sesuatu yang baharu. Melakukan rutin yang baharu dalam menjalani hidup seharian.

Angan-angan untuk mengembara ke seluruh dunia dengan bebas tidak tercapai. Bukan untuk tahun ini. Namun, apabila keadaan membaik ia boleh dilunaskan

Apakah yang kita pelajari hari ini?

1. Dunia bergerak terlalu pantas sehingga 2019. Datang virus yang tak kelihatan dek pandangan mata, seolah-olah butang ‘pause’ tertekan.

2. Manusia yang sebelum ini berkejar atau mengejar masa, terpaksa pause. Hendak tak hendak, kena menerima keadaan atau norma baharu yang menghadkan pergerakan kita.

3. Sebelum ini kita terlalu sibuk dengan rutin, kerja dan kerjaya, bisnes dan pelbagai lagi tuntutan hidup, sekarang kita perlu mengubah cara hidup.

4. Mungkin ramai merasakan tekanan atau berdepan isu kesihatan mental, tak dapat dinafikan. Tapi, dari satu sudut lain apabila kita terpaksa pause, kita mula dapat melihat apa yang penting atau apa yang lebih penting dalam hidup kita.

5. Ibu bapa yang dulu sibuk keluar pagi, pulang petang, semasa PKP misalnya dapat melihat dengan lebih dekat bagaimana anak-anak mereka belajar. Nakalkah? Bijakkah? Boleh membacakah? Boleh melukis?

6. Kita mula sedar yang kita tak perlu belanjakan wang yang banyak untuk hidup atau hidup sederhana.

7. Namun begitu, kegiatan ekonomi mesti diteruskan. Jadi, golongan yang pendapatannya tidak terjejas masih boleh membantu kitaran ekonomi kekal sihat dengan berbelanja. Bantu sektor atau industri untuk survive.

8. Mulakan rutin yang baharu untuk beradaptasi dengan perubahan.

9. Berkomunikasi dengan orang yang penting dalam hidup kita seperti yang dikongsikan sahabat saya.


****

Untuk menonton rakaman FB live kami ini boleh klik link di sini ya

Episod 1:


Episod 2: 


Episod 3: 


Share:

Cita-cita yang membunuh

 Kita diajar untuk bercita-cita tinggi.

Tapi dalam banyak perkara, kita mungkin gagal kerana cita-cita kita terlalu tinggi.

Satu masa dulu saya banyak membaca mengenai financial freedom. Keluar dari rat race. Bila pendapatan pasif melebihi perbelanjaan. Jadi saya berusaha ke arah itu sejak 2006 ke 2012 melalui pelaburan hartanah. 

Namun sejak 2013, saya dapati beberapa pinjaman rumah menyekat saya dari melakukan perkara lain yang saya mahu. Iaitu mengembara untuk tempoh yang panjang atau berpindah ke negara lain yang lebih tenang bagi diri saya.\




Malah saya juga ada tersilap memilih hartanah yang tak menguntungkan. Mungkin saya seorang blogger hartanah yang belum cukup bijak sebenarnya.

Kemudian, kita diberi naluri, ingin ada seseorang yang kita sayangi sepenuh hati. Ingin berkongsi rasa dan hidup bersama.  Ini juga satu kegagalan saya. 

Pesan Mazlina Berahim semalam, cari orang yang obses dengan kita.  Bukan orang yang kita obses pada dia. Mengapa bekas suami ambil kesempatan dan mengkhianati dia, antaranya kerana Mazlina yang obses dengan bekas suaminya sejak awal bercinta lagi. Mereka bercinta sejak lelaki tu sedang belajar lagi.




Dalam kes saya, memang belum ada orang obses dengan saya. Obses dengan blog propertywaltz.com saya dulu mungkin ada kan. Hahaha....

Saya ada berangan, kan bagus kalau orang yang saya obses dengannya dulu, satu hari nanti melihat saya dan dia merasa rugi. Rugi kerana menolak dan meninggalkan saya. 

Malangnya saya rasa kalau mereka lihat saya sekarang, mereka akan rasa mereka buat keputusan yang betul. Aduh.. Mereka lebih bahagia dan berjaya dari saya. Saya masih dipijak angan-angan lagi. 

Tamakkah kita bila mengejar cita-cita?

Cita-cita dan angan-angan ada banyak waktu membawa kita terbang tinggi ke langit. Namun ada banyak ketika juga ia membuatkan kita tersungkur di tepi lorong.

Saya harap buku yang akan Kasi Terbit terbitkan mengenai bagaimana Mazlina mengatasi kemurungan dan kesedihan akan dapat membantu saya dan bakal pembaca nanti.

Share:

Gagal dapatkan pinjaman Bank. Ini risiko pelabur emas yang banyak gadai di Ar-Rahnu.

Semalam saya pergi ke bandar Kajang.
Saya ada urusan di CIMB dan kemudian mencari cawangan Western Union yang dah buka.
Ada orang Singapura nak beli buku travelog yang saya jual, tapi buat bayaran melalui Western Union.
Jadi saya kena pergi ambik duit tu di mana-mana cawangan Western Union juga.
Masalahnya semua cawangan Western Union di Kajang belum beroperasi lagi.
Ada satu cawangan tu katanya 8 hb Mei nanti baru bukak.
Jadi saya kena datang semula la 8 hb nanti.

Namun bukan kisah Western Union ni yang penting.
Semasa di bandar Kajang, saya nampak jalan utama dalam bandar dan jem semula.
Yelah.. mulai semalam, dah bermula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.
Jadi dah banyak kedai dibuka. Tu yang jem semula.

Antara kedai yang dah dibuka adalah kedai-kedai pajak gadai.
Ya, saya memang perasan ramai orang beratur di sebuah kedai pajak gadai tak jauh dari Maybank Kajang.
Siap ada yang bergaduh dengan orang yang jaga pintu kedai.
Entah apa yang mereka pertikaikan agaknya.

Balik rumah dan bukak Facebook, rupanya bukan saya je perasan situasi ni.
Beberapa kawan lain pun nampak, ramai orang beratur panjang untuk masuk ke kedai pajak gadai,
Mungkin ada yang terdesak dan terpaksa menggadaikan barang kemas mereka.
Mungkin juga ada  barang kemas yang tarikh akhir tebusan dah tiba semasa PKP berlangsung.
Jadi bila kedai pajak gadai dibuka, mereka perlu segera ke kedai.
Buat tuntutan dan tebus semula atau apa juga yang patut.

Saya tau la sikit-sikit sebab ada pengalaman tolong mak saya bawak rantai ke kedai pajak gadai di Temerloh semasa saya bersekolah dulu.

Namun sebenarnya bukan hanya orang yang terdesak perlukan duit yang nak pajakkan barang kemas ni.
Orang yang buat pelaburan emas pun, biasanya letak emas mereka di Ar-Rahnu untuk rolling modal.
Salah satu teknik pelaburan emas yang biasa digunakan.

Namun rupanya kalau banyak sangat letak emas di Ar-Rahnu, ada kesan pada CCRIS dan pada kelayakan pinjaman bank anda.
Saya pun baru tahu ni.. bila terbaca perkongsian kawan saya, Firdaus Pay di Facebooknya.
Meh saya kongsikan di sini untuk kawan-kawan baca sendiri ya.



******

Risiko Pelaburan Emas Jika Banyak Gadai di Ar-Rahnu, Permohonan Pinjaman Bank Boleh Ditolak.

Foto tular


Izin Pay share sekali lagi tentang risiko pelaburan emas rentetan posting sangat bermanfaat dan hangat dibincangkan dari FB Dr Azizul Azli Ahmad.

Pernah satu ketika dulu, zaman orang banyak melabur emas fizikal. Beli banyak sangat. Lalu beliau gadai di ar-rahnu untuk buat pusingan modal.

Pay pernah melihat seorang rakan yang mempunyai pendapatan yang tinggi dan stabil, kerja sebagai pensyarah berjawatan Professor Madya di sebuah universiti tempatan.

Permohonan pinjaman bank beliau telah ditolak oleh pihak bank kerana di dalam CCRIS Report beliau terlalu banyak "Pawn Broking".

Bank melihat beliau sebagai seorang yang mempunyai masalah kewangan walaupun pada hakikatnya, beliau tidak mempunyai masalah kewangan dan hanya ingin "menyimpan" emas yang beliau miliki dari pelaburan emas.


Saya tak cakap pelaburan emas tu tak bagus ya, saya cuma berkongsi risiko Pawn Broking sahaja.

\

Apa kesan Pawn Broking (pajak gadai) terhadap permohonan pinjaman bank?

Pawn Broking atau dalam bahasa melayu dipanggil pajak gadai.

Pawn Broking ini agak digemari oleh masyarakat kita di kala kesempitan wang, kerana pawn broking boleh memberi kita wang dengan cepat dan mudah.

Untuk makluman, Pawn Broking yang dipajak di institusi kewangan atau bank sahaja akan masuk ke dalam CCRIS report buat masa ini.

Tapi sedarkah kita, Pawn Broking ini mempunyai risikonya yang tersendiri.

Sedarkah anda bahawa Pawn Broking yang muncul CCRIS report anda mempunyai "tanggapan buruk" dari pihak bank?

Sebenarnya, bank melihat Pawn Broking (jika terlalu banyak) di dalam CCRIS report sebagai pemohon yang "mempunyai masalah kewangan atau kesempitan wang".

Ingat tak dulu di kala pelaburan emas menjadi "trending" suatu masa dahulu?

Pelabur tersebut suka simpan emas mereka secara pajakan "Pawn Broking".

Amalan ini sebenarnya amat tidak digalakkan kerana akan menjejaskan permohonan pinjaman kita.



Selain itu, Debt Service Ratio (DSR) untuk Pawn Broking juga akan meningkat secara mendadak kerana bank biasanya akan mengira komitment Pawn Broking hanya untuk tempoh 6 bulan sahaja (Maksudnya jumlah pajakan dibahagikan 6 bulan - RMXXXX/6).

Bayangkan jika jumlah pajakan Pawn Broking kita banyak? Apa kesannya? 😅

So, beringatlah sebelum "menyimpan" emas anda secara "Pawn Broking" kerana ia mempunyai risiko yang agak tinggi untuk bakal pemohon pinjaman bank.



*******

Ok kawan-kawan, kalau nak baca banyak lagi perkongsian menarik dari Firdaus Pay melibatkan kewangan dan hartanah, boleh follow dia di Facebook ya. Klik DI SINI untuk akses Facebooknya.

Semoga perkongsian Firdaus Pay ini memberi tambahan pengetahuan kepada kita semua
Share:

Bagaimana pos murah dengan pelbagai courier siap datang collect di rumah?

Kita dah masuk fasa ke3 PKP kan.
Nampaknya banyak benda yang kita perlukan kita perlu beli online.
Dalam kes saya, saya ada rumah penerbitan buku. Kasi Terbit namanya.
Kasi Terbit menerbitkan buku dan memasarkan buku-buku lain yang genre sama dengan buku kami, terutama buku yang penulisnya terbit sendiri.



Semasa PKP ni, jualan online merupakan satu keperluan.
Namun, ada yang susah nak pergi pos barang kan.
Kos pos pula bukan murah.

Jadi, untuk peniaga online seperti saya, boleh pertimbangkan pakai servis website Easyparcel.
Ia sebenarnya satu service pengeposan kontrak secara prepaid.



Daftar akaun di website Easyparcel, kemudian top up kredit melalui kad debit, kad kredit atau online banking untuk amaun yang kita perlukan.
Kemudian boleh la kita key in pengeposan.


Masa top up pulak, boleh pilih nak top up berapa.
Serendah RM100, boleh dapat harga pos RM5 - RM6.50 untuk 5 kg ke Semenanjung bawah kalau guna Pgeon Delivery atau Poslaju.
Murah kan...

Tapi kalau top up RM2k, kita boleh dapat diskaun lagi untuk pengeposan lebih 5 kg atau pengeposan lebih 2kg bagi courier selain Pgeon Delivery dan Poslaju.
Untuk top up sebanyak RM500 ke atas, kita boleh dapat free plastik flyer atau plastik pembungkusan tu. Jimat juga kos kita kan.

Tapi kalau bajet sikit atau tak la banyak sangat nak pos, topup RM100 dah cukup la kan.
Cuma tak ada free plastik flyer je la.

Kemudian kita kena masukkan poskod kita, poskod penerima dan berat bungkusan.
Sistem akan kira dan beri cadangan pelbagai courier yang ada di bawah Easyparcel.
Jadi kita boleh pilih la yang mana kita mau.


hasilnya:



Begitu juga kalau lebih 2 kg.
Tengok ni saya try kalau berat 4.99 kg.



Easyparcel boleh juga digunakan untuk pos ke luar negara.
Kita hanya perlu masukkan details kad kredit atau kad debit dalam sistem ni.

Macamana yang anda tengok kat senarai harga dan senarai courier tu, ada courier yang boleh datang collect di rumah. Ada yang satu parcel pun mereka boleh datang collect, ada yang buat syarat mesti at least 4 parcel.
Tengok kesesuaian ya.
Cuma sepanjang PKP ni, sebab dah lambakan barang untuk dipos, Poslaju nampak dah kurang atau tak buat collection di rumah.
Pgeon Delivery masih ada walaupun ada hari yang mereka jem sangat sampai tak sempat datang collect.
Tapi kalau semalam dah terlepas tak sempat datang collect, hari ni biasanya mereka mesti datang.

Kalau tidak, kita pilih sahaja kita yang dropkan parcel tu ke mereka.
Boleh pilih pusat poslaju terdekat atau pejabat pos terdekat kalau pilih Poslaju.
Cuma kalau ke Pusat Poslaju, kita kena pergi kaunter pengeposan kontrak. Kaunter yang berbeza dengan pengeposan biasa.

Kalau pilih Nationwide atau SkyNet pun sama, boleh terus drop kat cawangan mereka.



Jadi kawan-kawan yang berniaga online, boleh pertimbangkan guna Easyparcel ya.
Lebih murah, lebih mudah.
Tak payah tulis tangan kat kertas slip poslaju sampai tangan lenguh. Just copy paste je dari senarai pembeli dalam email, whatsapp atau komputer anda.

Klik DI SINI untuk mendaftar akaun Easyparcel anda.
Share:

Pakej Prihatin PKS: semua peniaga dan owner hartanah komersial wajib baca

Semalam Perdana Menteri telah mengumumkan Langkah Tambahan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat atau Prihatin Tambahan.



Sebelum ini, stimulus yang diberikan oleh kerajaan sangat tidak cukup membantu PKS dan membantu PKS mengekalkan pekerjaan.
Ia lebih kepada memberi ikan kepada rakyat.
Jadi atas maklumbalas yang kerajaan terima dari persatuan dan dewan perniagaan, kerajaan nampak yang ia tak cukup untuk memberi kayu pancing kepad rakyat.
Ikan boleh habis dalam satu hari.
Tapi bantuan kayu pancing dan penjagaan sungai, tasik dan laut sebagai sumber ikan sebenarnya yang lebih memberi jaminan.
PKS adalah antara sumber ikan itu.

Jadi, berdasarkan pengumuman semalam, inilah intipati pakej Prihatin Tambahan tersebut.




1) Subsidi upah untuk pekerja tempatan yang bergaji RM4,000 ke bawah. 

- bagi syarikat yang mempunyai pekerja sehingga 75 orang, subsidi gaji sebanyak RM1,200 sebulan untuk setiap pekerja.
- bagi syarikat yang mempunyai pekerja 76 - 200 orang, subsidi gaji sebanyak RM800 sebulan untuk setiap pekerja
- bagi syarikat yang mempunyai lebih 200 orang pekerja, subsidi gaji sebanyak RM600 sebulan untuk setiap pekerja, tapi terhad kepada 200 orang pekerja sahaja.

Syarat subsidi gaji
1. Subsidi untuk 3 bulan sahaja
2. Majikan telah mendaftar dengan SSM atau pihak berkuasa tempatan sebelum 1 Januari 2020
3. Telah mendaftar dengan PERKESO.
4. Wajib mengekalkan pekerja selama sekurang-kurangnya 6 bulan, termasuk 3 bulan tempoh yang ada subsidi ni.

Jadi, kalau pekerja dua tiga orang tapi tak ada perkeso tu, maknanya tak layak memohon subsidi ya.
Jumlah keseluruhan RM13.8 billion, selepas ditambah lagi RM7.9 billion.



2. Geran Khas Prihatin berjumlah RM2.1 billion

Pengusaha PKS mikro akan menerima geran khas sebanyak RM3,000 untuk 700,000 PKS yang layak.

Syarat:
1. Pengusaha PKS Mikro yang sudah mendaftar dengan SSM dan
2. Telah mendaftar dengan LHDN.

SSM dan LHDN akan memberi senarai PKS Mikro yang layak ini. Saya pasti ia akan berdasarkan rekod pendapatan perniagaan yang kita telah declare sebelum ini.

Ha... penting kan declare LHDN ni. Declare tak semestinya kena bayar cukai banyak. Mungkin sebenarnya tak perlu bayar pun kalau kita tahu kat mana nak tolak dan kat mana nak manipulate secara sah. Boleh KLIK DI SINI untuk tahu teknik dan tips declare dan kurangkan cukai secara sah.





3. Pemansuhan kadar faedah dari 2% ke 0% untuk skim pinjaman kredit Mikro Bank Simpanan Nasional. Jumlah kadar faedah yang terlibat sebanyak RM500 juta.


4. Skim Pinjaman Mudah oleh Tekun Nasional dengan kadar faedah 0%. Amaun maksima pinjaman adalah RM10,000 sahaja.


5. Pengecualian sewa atau diskaun sewa untuk peniaga runcit PKS yang menyewa di premis perniagaan milik syarikat berkaitan kerajaan (GLC). 

Ni hanya untuk yang sewa unit kedai MARA, Petronas, PNB, UDA, Plus dan seumpamanya ssahaja ya. Yang menyewa dengan individu atau syarikat swasta, tak terpakai. Sewa tetap kena bayar.


6. Untuk syarikat yang menggunakan pekerja asing, pengurangan levi pekerja asing sebanyak 25%. 

Syarat: 
Permit pekerja tersebut tamat pada 1 April - 31 Disember 2020 sahaja.



7. Syarikat boleh berbincang dengan pekerja mengenai terma pekerjaan sama ada terpaksa membuat pemotongan gaji atau memberi cuti tanpa gaji kepada pekerja untuk tempoh PKP ini.

Yelah.. kalau perniagaan kedai buku, contohnya. Ia tak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh PKP. Dah la kedai buku banyak tutup sebelum ni disebabkan keadaan pasaran. Kalau dah sebulan tutup kedai, mungkin banyak yang tak mampu bayar gaji pekerja dah sebab zero income sepanjang PKP.
Cuma, harap rundingan ini win-win situation untuk kedua-dua pihak majikan dan pekerja.


8. Morotarium selama 30 hari oleh SSM kepada syarikat memgemukakan dokumen berkanun. Tempoh 30 hari dikira dari tarikh akhir PKP.


9. Tempoh menyerah simpan penyata kewangan syarikat dilanjutkan selama 3 bulan dari tarikh PKP.

Syarat: 
- Tahun kewangan syarikat berakhir pada 30 September hingga 31 Disember 2020.
- Penanguhan tidak automatik. Kena mohon dulu kepada SSM dan tidak akan dikenakan fi lewat penghantaran.



10. Pemilik bangunan atau ruang perniagaan yang memberi diskaun sewa kepada penyewa mereka akan menerima potongan cukai tambahan dengan amaun yang sama dengan amaun diskaun.

Syarat:
- Penyewa adalah PKS
- Diskaun sewa ini adalah untuk bulan April - Jun 2020.



11. Permohonan pinjaman untuk PKS yang dinyatakan dalam Pakej Rangsangan Prihatin ada disediakan dilakukan di https://imsme.com.my
Postal ini dikendalikan oleh Credit Guarantee Corporation (CGC) dengan kerjasama Bank Negara Malaysia.
Amaun pinjaman yang boleh dipohon bermula dari RM1,000 ke RM1 juta.
Share:

Pencarum insurans dan takaful boleh dapat penangguhan bayaran 3 bulan sempena wabak Covid 19

Minggu lepas Perdana Menteri kita dah buat pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat sempena keadaan Perintah Kawalan Pergerakan sekarang ni.

Antara yang terkandung dalam pakej rangsangan ini adalah penangguhan bayaran takaful dan insurans kepada pencarum selama 3 bulan kepada pencarum yang pendapatannya terjejas disebabkan Covid 19 ini.


Saya sendiri mempunyai perlindungan kad perubatan dengan Prudential BSn. Jadi saya bertanya agen Prudential saya, Mardiyah, adakah saya dan kawan-kawan yang berniaga sendiri ini boleh menerima penangguhan bayaran takaful ini?

Jawapannya dari pihak Prudential BSN adalah

1. Ia bukan automatik. 

Maknanya bukan secara automatik kita tak payah bayar carumah untuk bulan April, Mei dan Jun ni. Tapi kita kena mohon penangguhan ni. Dapat kelulusan penangguhan baru lah tak payah bayar. Tak mohon penangguhan, tetap kena bayar. Mohon penangguhan tapi tak diluluskan, pun kena bayar.


2. Penangguhan untuk 3 bulan sahaja, antara April 2020 sampai Disember 2020.

Maknanya kalau lah kita mohon dan dapat kelulusan penangguhan tu bermula bulan Mei, jadi penangguhan yang kita akan peroleh adalah untuk Mei, Jun dan Julai 2020.

Tapi kalau kita apply penangguhan bulan Jun, kemudian kelulusan diterima dan berkuatkuasa bulan Ogos, jadi kita tak perlu bayar insuran atau takaful untuk bulan Ogos, September dan Oktober 2020.


Boleh faham?


3. Siapa yang layak mendapat penangguhan ni?

Ia sebenarnya untuk pencarum yang telah
a) pesakit Covid 19
b) diarahkan kuarantin di rumah
c)mereka yang terjejas akibat kehilangan pendapatan atau perniagaan akibat PKP dan keadaan ekonomi yang perlahan ini.

Untuk kategori a dan b, mereka perlu hantar surat doktor yang mengesahkan perkara berkenaan.

Tapi untuk kategori c, ada leceh sikit.
Kita kena kemukakan bukti seperti
- surat pengurangan gaji atau surat penamatan gaji oleh majikan
- surat penutupan servis oleh pemilik perniagaan
- bukti atau dokumen lain yang berkaitan seperti notis-notis penutupan pusat penjaja, surat pembatalan festival atau ekspo perniagaan yang berkaitan dan lain-lain.
- agen saya menasihatkan saya agar memberi bukti akaun pendapatan dan pengeluaran untuk bulan Mac supaya lebih jelas ketiadaan atau kekurangan income tersebut.


4. Penangguhan ini tak bermaksud waiver atau terus percuma.
Maknanya tak adalah terus bagi free insuran. Bila tempoh penangguhan tamat, pencarum dikehendaki terus buat bayaran semula.

5. Tiada interest dikenakan sepanjang tempoh penangguhan ini. 
Tak macam bank ya.

6. Coverage tetap berkuatkuasa semasa tempoh penangguhan.
Jadi katalah kita dapat kelulusan untuk penagguhan bayaran ansuran atau takaful, tapi dalam tempoh tak payah bayar tu kita nak claim insuran atau nak masuk hospital, kita tetap boleh claim macam biasa selagi kita layak. As if macam tak ada penangguhan.



7. Cara memohon penangguhan

Dalam kes Pridential BSN, kita kena submit permohonan dan dokumen sokongan melalui email ke customer@prubsn.com.my.
Subjek atau tajuk email mestilah begini:

PERMOHONAN PENANGGUHAN PEMBAYARAN: SIJIL XXXXX

Boleh faham kawan-kawan?

Kalau nak tau lebih lanjut atau kalau kawan-kawan pencarum dari syarikat takaful atau insuran lain, boleh la hubungi agen insuran kawan-kawan untuk maklumat lebih lanjut ya.

Kalau nak tanya lebih lanjut dan berminat untuk dapatkan pakej dengan Prudential BSn, boleh juga contact Mardiyah dengan klik di sini.

Share:

Untung betul Makcik Kiah. Laki dia bawak Grab.


Tiba-tiba kisah Makcik Kiah jadi tular.
Si penjual pisang goreng yang tinggal di PPR Desa Tun Razak.
Suaminya pesara dan sekarang membawa Grab.
Anak Makcik Kiah pula adalah peminjam PTPTN.

 Terima kasih kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Perdana Menteri Malaysia (dan penulis teks ucapan) kerana menggunakan contoh rakyat marhain dalam menjelaskan Pakej Rangsangan Ekonomi pada petang Jumaat, 27 Mac 2020.

Makcik Kiah adalah contoh kehidupan 40% daripada rakyat Malaysia.
Makcik Kiah adalah kisah ramai.
Makcik Kiah mungkin juga kisah kita. Kisah rakyat marhain yang mencari rezeki pada saat gawat.

Ditambah pula suami Makcik Kiah si pesara yang terpaksa meneruskan kelangsungan hidup dengan menjadi pemandu e-hailing.
Ya, pemandu e-hailing adalah rakyat stereng yang berusaha untuk melawan kegawatan dengan menggabungkan kudrat dan keupayaan ekonomi 'gig'.

Istilah ekonomi gig ini semakin popular digunakan semenjak wujudnya platform perantara perkhidmatan secara digital seperti e-hailing dan AirBnB.




Sebuah buku Rakyat Stereng Lawan Gawat tulisan Mimi Salleh turut menjelaskan ekonomi gig ini telah menyumbang sebanyak AS$1.28 trilion kepada ekonomi Amerika pada tahun 2018.
Tulis Mimi lagi, E-hailing adalah sinar di sebalik kegelapan bagi mereka yang sedang dihimpit kesulitan.

Ia adalah peluang pekerjaan halal bagi mereka yang ingin ‘fight to survive’ - mereka yang dibuang kerja, si bapa yang perlu menambah pendapatan keluarga, si ibu yang ingin meringankan beban perbelanjaan dan si pelajar yang sedang mengumpul duit untuk membayar yuran pengajian.
Malah, e-hailing juga memberi peluang kepada pemandu pekak dan bisu serta kurang upaya untuk mencari rezeki.

Buku ini memuatkan 30 kisah pemandu e-hailing daripada pelbagai bangsa dan latar belakang.
Malah, turut diterangkan langkah-langkah untuk berdaftar sebagai pemandu e-hailing.

Ermm... mungkinkah salah seorang daripada mereka ialah suami Makcik Kiah?


Buku setebal 176 muka surat ini merupakan satu lagi buku terbitan Kasi Terbit.
Kasi Terbit ni pulak, siapa lagi kalau foundernya adalah saya sendiri, Rohaniah Noor.

Jika nak tahu, boleh dapatkan buku ini sementara jualan promosi masih berlangsung.
Klik bit.ly/mimifighter untuk maklumat lanjut.

Boleh juga dapatkan buku ini di laman Shopee Kasi terbit di link berikut. https://shopee.com.my/kasiterbit


Kredit: Mimi Salleh
Share:

Bank Negara umum moratorium automatik selama 6 bulan, tangguh bayar ansuran pinjaman kecuali kad kredit. Happy?

Hari kelapan dalam tempoh Kawalan Pergerakan.

Bagi sebahagian kakitangan awam, ini hari kelapan mereka bercuti dengan gaji.
Bagi kakitangan perkhidmatan utama, tak ada beza. Kerja macam biasa di pejabat atau di rumah. Gaji tetap jalan.
Tapi bagi sebilangan besar peniaga dan orang yang bekerja sendiri, ini mungkin hari kelapan mereka terpaksa tutup bisnes atau tak ada job.
Majikan kecil begini, nak bayar gaji pekerja pun tak dapat. Jadi terpaksa beri cuti tanpa gaji kepada mereka.
Walaupun Jabatan Tenaga Kerja mewajibkan semua majikan membayar gaji penuh kepada pekerja, nampaknya peraturan itu dilihat pro-pekerja.
Sebab majikan kecil juga adalah rakyat yang terduduk bila bisnes terpaksa tutup.

Jadi macamana?

Minggu lepas, Pakej Rangsangan Ekonomi mengumumkan bahawa moratorium atau penangguhan pembayaran ansuran pinjaman akan diberi selama 6 bulan kepada pekerja atau SME yang terkesan akibat covid 19.
Apa yang berlaku pada waktu itu adalah:
- tak semua bank menyambut langkah pemberian moratorium ini.
- tak semua golongan peminjam layak mendapat moratorium
- peminjam kena memohon dari bank untuk mendapat moratorium. Kemudian tengok bank luluskan ke tak

Leceh kan?

Ahaa.. alhamdulillah sekarang dah ada berita baik.


Bank Negara dah keluarkan surat kepada semua bank, memaklumkan pengecualian atau moratorium secara automatik untuk semua bayaran ansuran pinjaman, selama 6 bulan, bagi semua peminjam individu atau SME mulai 1 April 2020.

Namun ada syarat dan terma untuk moratorium ini:

1- ia mestilah yang belum tertunggak selama 90 hari dari tarikh 1 April 2020. Maknanya kalau ansuran tu dah lebih 90 hari tertunggak, ansuran tu tetap kena bayar. Kalau cuma tak bayar pada 31 Mac ni, ia tertunggak juga tapi tak lebih 90 hari. Jadi masih layak menerima moratorium.

2- Pinjaman mestilah dalam mata wang Ringgit Malaysia.



3- Moratorium ini tak termasuk pinjaman kad kredit. Namun begitu sekiranya pemilik kad kredit mempunyai masalah membayar amaun minimum kad kredit bulanan, pemilik kad kredit boleh memohon pihak bank menukarkan baki kad kredit ke pinjaman bersyarat. Tempoh pinjaman bersyarat tu tak lebih 3 tahun dan kadar faedah tak lebih 13% setahun.

4- Kadar faedah atau kadar keuntungan masih berjalan dan dikira macam biasa. Jadi, bila ansuran tak dibayar dan faedah berjalan, jumlah yang perlu dibayar secara keseluruhannya akan bertambah. Jadi, tempoh bayaran balik pinjaman akan bertambah juga.

5- moratorium ini bukan sejenis restructure loan. Jadi ia tak menjejaskan prestasi CCRIS atau menjejaskan rekod peminjam ketika nak mohon pinjaman lain di masa depan.

6- Peminjam individu atau SME yang tak mahu moratorium ini, perlu memaklumkan bank yang mereka nak teruskan dengan pembayaran ansuran bank macam biasa.



Jadi kawan-kawan, dengan berita gembira ni maka terbatalkan proses permohonan moratorium yang bank kenakan sebelum ni.
Kita tak payah call bank dah dan isi borang.
Semua pengecualian ni berkuatkuasa secara automatik mulai 1 April nanti.

Walaubagaimana pun, jika anda mempunyai ansuran yang kena bayar sebelum 1 April 2020, anda masih perlu membayar jika tak mau ia menjadi tertunggak.

Satu lagi jangan lupa.

Untuk April - Oktober 2020 ni, yang mana buat auto debit dari akaun simpanan ke akaun pinjaman ansuran bank, boleh batalkan dulu la auto debit ni.
Nanti elok-elok dapat penangguhan bayaran ansuran, tapi setiap bulan auto debit tolak duit dua tiga kerat yang ada dalam akaun bank kita tu pulak.
Elok nak beli roti gardenia, tengok-tengok baki duit dalam akaun bank dah berkurangan pulak.
Alahai...


***
Rohaniah Noor
Perunding Hartanah
Share:

Pengeluaran RM500 KWSP sempena serangan Covid 19. Apa kesannya?

Masih lagi dalam Arahan Kawalan Pergerakan.

Semalam Perdana Menteri kita membuat pengumuman, rakyat Malaysia boleh keluarkan wang dari akaun 2 KWSP sebanyak RM500 sebulan untuk meringankan beban kewangan masing-masing.
Ia akan berkuatkuasa mulai 1 April nanti.
Semua pencarum boleh mohon keluarkan asalkan ada duit mencukupi dalam akaun 2 dan usia pencarum sehingga 55 tahun.
Mereka boleh keluarkan rm500 sebulan selama 12 bulan. Total pengeluaran dibenarkan adalah RM6,000.



Apa kesan dari pengumuman ini?


1. Pengeluaran akaun 2 KWSP ini tidak wajib. Siapa ada wang simpanan, seeloknya guna wang simpanan. Siapa yang gaji masih jalan, lagi lah tak ada alasan nak keluarkan duit dalam akaun 2 ni. Kalau dah tak ada pilihan lain, barulah keluarkan duit akaun 2 ni ya.



2. Selama ini, kita semua tahu yang duit persaraan dalam KWSP sebenarnya tak cukup untuk sara kita selepas bersara. Ramai yang habiskannya dalam tempoh 3 tahun pertama sahaja. Saya sendiri ingat lagi yang bila arwah abah saya keluarkan duit kwsp, kejap je nampak dia ada duit. Lepas tu, dia tetap membaiki kereta macam biasa. Kami sendiri tak tau apa dia buat dengan duit KWSP dia tu.

Sebelum ini, akaun 2 ni dah pun boleh dikeluarkan untuk bayar yuran pengajian, bayar hutang PTPTN dan untuk beli rumah. Jadi bila boleh keluarkan pula untuk survive sepanjang 12 bulan ni. Kesannya, makin sikit la duit persaraan pencarum nanti? Sebab banyak sangat dikeluarkan.




3. Macam saya cakap tadi, akaun 2 boleh digunakan untuk membeli rumah. Apabila RM6K dah dikeluarkan sepanjang 12 bulan ni, maka pencarum ni dah tak ada la banyak baki untuk beli rumah. Dah la ramai tak ada deposit 10%. Sekarang duit kwsp pun dah mengecik. Apa lagi yang tinggal?

Perlu ke gunakan RM6K untuk digunakan untuk setahun ni berbanding sebuah kediaman yang kekal selagi kita hidup?



4. Ada komen di media soSial kata, bagus berkahwin dengan pekerja swasta sebab ada duit kwsp untuk dikeluarkan pada masa ini. Kalau kahwin dengan kakitangan awam, tak ada KWSP. Lepas tu menyesal sebab laki tak ada KWSP.


Hey hey... bodoh tu jangan la dihabiskan.
Kalau laki perempuan tu kakitangan awam, dia tak perlu keluarkan duit akaun 2 kwsp ni sebab gaji dia masih jalan macam biasa. Ohkay!



5. Pengeluaran akaun 2 KWSP tak wajib. Siapa yang memang terdesak, keluarkan pada bulan yang perlu sahaja. Walaupun kita semua tak ada job atau tak ada gaji di waktu begini, kita usahalah cari pendapatan mana yang boleh. Jual barang online, offer service online, bawak foodpanda, bawak grab food atau apa juga. Bulan mana yang ada income tu, kita tak perlu la keluarkan.




6. Saya harap kerajaan akan beri bantuan lain kepada pekerja tak bergaji dan golongan bekerja sendiri yang sangat terjejas dengan keadaan sekarang. Apa kata, bagi diskaun atau pengecualian pembayaran cukai ke.. Kan sekarang ni sepatutnya masa untuk peniaga dan orang yang bekerja sendiri nak bayar cukai. Bagi la pelepasan pembayaran cukai. Bagi juga mask percuma. Bagi elaun kepada semua golongan begini. Beri monotorium pembayaran ansuran atomatik kepada golongan begini. Jangan la hanya fikirkan pekerja makan gaji sahaja. Majikan kecik dan yang bekerja sendiri pun poket kosong. Setidaknya, beri interest free untuk 6 bulan ini. Bank dah cukup kaya dengan kadar faedah atau profit yang kami buat loan selama ini kan.



7. Nak keluar KWSP kena pergi pejabat KWSP tak? Atau boleh isi borang online dan duit automatik masuk dalam akaun bank je. Part ni tak jelas. Jangan disebabkan ni, pejabat KWSP akan dikerumun orang pula nanti macam adegan kat balai polis tempoh hari.

Stay safe kawan-kawan pembaca PropertyWatlz.com



Share:

Disclaimer

This blog is for information and experience sharing. The authors are not responsible for any loss or damages caused by the manipulation and application of information obtained from the blog.

Highlight

Pengeluaran RM500 KWSP sempena serangan Covid 19. Apa kesannya?

Masih lagi dalam Arahan Kawalan Pergerakan. Semalam Perdana Menteri kita membuat pengumuman, rakyat Malaysia boleh keluarkan wang dari aka...

Popular Posts

Translate Blog

Blog Archive

Arkib Blog